Berlin henti suntikan AstraZeneca untuk penduduk bawah 60 tahun

Berlin henti suntikan AstraZeneca untuk penduduk bawah 60 tahun

BERLIN: Pemberian vaksin AstraZeneca untuk mereka yang berusia di bawah 60 tahun diberhentikan mulai hari ini di Berlin, Jerman.

Menteri Kesihatan Berlin, Dilek Kalayci, yang mengesahkan perkara itu, berkata ia dilakukan susulan laporan bahawa berlaku kejadian darah beku dalam kalangan mereka yang menerima suntikan berkenaan.

“Kami menghentikan sementara pemberian vaksin AstraZeneca kepada mereka di bawah 60 tahun,” katanya yang memetik data terbaru mengenai kesan sampingan.

Beliau berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan, sementara menunggu saranan rasmi pihak berkuasa kesihatan persekutuan.

“Kita tidak menerima kes serius membabitkan kesan sampingan di Berlin,” kata Kalayci sambil menjelaskan semua individu menerima suntikan pertama AstraZeneca mendapat perlindungan yang baik.

Menurut laporan majalah Spiegel, pengawal selia perubatan Jerman, Institut Paul Ehrlich (PEI) sehingga kini melaporkan 31 kes darah beku dalam kalangan mereka yang menerima suntikan AstraZeneca.

Kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan wanita muda dan di pertengahan usia, sekali gus mendorong beberapa hospital di Jerman menghentikan suntikan itu bagi golongan berusia 55 tahun ke bawah, minggu ini.

Menurut Kalayci, menteri kesihatan serantau di Jerman mengadakan pertemuan hari ini manakala Suruhanjaya Vaksin Jerman dijangka membuat usul baharu mengenai AstraZeneca, tidak lama lagi.

Semalam, Kanada juga mengusulkan pemberhentian suntikan itu bagi mereka berusia 55 tahun sementara menunggu analisis lebih lanjut.

Vaksin AstraZeneca menerima pelbagai reaksi sebelum ini di mana Britain iaitu negara yang menghasilkannya, terus menyokong penggunaan produk itu.

Afrika Selatan secara terang-terangan menolak vaksin itu dan lebih puluhan negara Kesatuan Eropah (EU) pula menghentikan suntikan sejak pertengahan Mac sebelum memulakannya semula bersama syarat usia yang ketat.

Perancis mengehadkan suntikan terhadap mereka berusia lebih 55 tahun manakala Sepanyol pula di bawah usia 65 tahun. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top