Bermain dengan sabar kunci kemaraan gandingan suami isteri

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, memulakan kempen Terbuka Denmark 2025 dengan langkah kanan selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lu Ming Che-Hung En Tzu, dalam aksi pusingan pertama di Odense, hari ini.

Pasangan profesional negara itu yang kini berada dalam ranking kesembilan terbaik dunia, menampilkan aksi bertenaga untuk menang 21-14, 22-17 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 28 minit.

Kemenangan itu menyaksikan mereka mara ke pusingan kedua dan bakal berdepan pemenang di antara pasangan tuan rumah, Jesper Toft-Amalie Magelund, atau gandingan Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara.

“Hari ini kami berjaya mengawal rentak dengan baik. Paling penting, kami bermain dengan penuh kesabaran,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Kesabaran ini bukan boleh dibina dalam sehari dua. Sejak awal gandingan kami, setiap perlawanan dan sesi latihan mengajar kami untuk sentiasa tenang dan berfikir sebelum bertindak. Hari ini, kami berjaya mengawal diri dengan baik,” katanya.

“Pencapaian terbaik kami di sini ialah separuh akhir pada 2022. Harap kali ini kami boleh pergi lebih jauh, tapi kami akan ambil satu perlawanan pada satu masa,” katanya.

Pada Terbuka Artik minggu lalu pasangan suami isteri itu terkandas di suku akhir selepas tewas 12-21, 14-21 kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top