Berperahu 5km cerut rumput untuk lembu ketika banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kelantan: Seorang penternak tidak kisah berperahu dalam hujan sejauh 5 kilometer untuk mencerut rumput sebagai makanan lembunya di Kampung Lanchang, Rantau Panjang.

Tuan Hanif Wan Adam, 40, berulang-alik dua kali sehari mencari rumput di kawasan padang belakang rumahnya dengan berperahu meredah banjir sedalam dua hingga tiga meter.

Menurutnya, musim tengkujuh menyebabkan semua lembu itu dipindahkan ke kawasan selamat dan perlu diberikan makan dua kali sehari.

“Kawasan rumah kami dinaiki air sedalam 1.5 meter dan kami di sini sudah biasa naik perahu sejak kecil.

“Jadi tiada rasa takut untuk berperahu sejauh itu bagi mencari sumber makanan ternakan. Biasanya saya keluar cerut rumput dua kali sehari iaitu seawal jam 8 pagi dan kemudiannya jam 3 petang bagi memastikan ternakan saya tidak kelaparan,” katanya.

Menurutnya, sebelum musim tengkujuh lembu miliknya boleh mencari makanan sendiri namun keadaan banjir menyebabkan semua padang ragut ditenggelami air.

Katanya, situasi itu berlaku memandangkan setiap tahun kampungnya adalah kawasan paling awal mengalami banjir akibat hujan lebat sejak tiga hari lalu.

 

 

ZA137 Malay News

National Desk