lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Berqasidah di atas bas sambil mengelilingi kawasan tumpuan sekitar ibu negara menjadi antara kelainan dilakukan bagi memeriahkan suasana Ramadan di ibu negara.
Pengurus Korporat Bas KL Hop-On Hop-Off (HoHo), Abdul Rahman Mohamed berkata, program dikenali sebagai Qasidah Jelajah Kuala Lumpur itu yang diadakan pada 11 dan 14 Mac lalu, sudah memasuki penganjuran tahun kelima sejak diperkenalkan pada 2019.
Menurutnya, program berkenaan pernah dihentikan selama tiga tahun susulan pandemik Covid-19 sebelum diteruskan semula bermula 2023.
“Tujuan utama program itu adalah untuk mengimarahkan Ramadan serta mengajak orang ramai berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW di tengah kesibukan kota raya sambil mengeratkan ukhuwah persaudaraan.
“Tahun ini adalah kali kelima kami menganjurkan program ini sejak ia diperkenalkan pada 2019.
“Selepas itu, ia terhenti selama tiga tahun kerana pandemik sebelum kita sambung semula pada 2023 hingga sekarang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Rahman berkata, program berkenaan bermula dengan majlis berbuka puasa bersama peserta terdiri daripada Qasidah Shoutul Hasanah sebelum menunaikan solat Isyak dan bergerak menaiki bas tidak berbumbung itu sekitar jam 9 malam.
“Perjalanan bermula dari depot bas di Sentul sebelum melalui beberapa lokasi tumpuan antaranya Menara Berkembar PETRONAS (KLCC), Jalan Ampang, Bukit Bintang, Pavilion, Berjaya Times Square dan Sungei Wang sebelum kembali semula ke depot.
“Di beberapa lokasi seperti KLCC dan Sungei Wang, bas akan berhenti seketika kira-kira lima minit bagi memberi peluang peserta berselawat bersama orang ramai.
“Keseluruhan perjalanan mengambil masa kira-kira tiga hingga tiga setengah jam bergantung kepada keadaan trafik terutama pada minggu terakhir Ramadan,” katanya.
Beliau berkata, sambutan orang ramai termasuk pelancong asing terhadap program itu amat menggalakkan apabila ramai yang turut sama berselawat bersama peserta qasidah.
“Malah tahun lalu ada pelancong yang memakai kostum watak adiwira turut sama berselawat bersama kami ketika bas melalui kawasan Bukit Bintang.
“Insya-Allah, kita bercadang meneruskan program ini pada tahun hadapan dengan skala lebih besar termasuk mencari penaja bagi menyokong penyertaan kumpulan qasidah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




