SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan yang dilemparkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung beberapa isu termasuk pertukaran Menteri Besar Perlis, krisis politik Negeri Sembilan serta dakwaan kelemahan jentera pilihan raya Bersatu yang dikatakan menjadi asas Pas mengkaji semula hubungan dengan parti itu.
Menurut kenyataan Biro Politik Bersatu, semua isu berbangkit sepatutnya diselesaikan secara musyawarah dalam Perikatan Nasional dan bukannya diperdebat secara terbuka kerana boleh menimbulkan salah faham serta persepsi negatif terhadap parti dan gabungan berkenaan.
Berikut kenyataan penuh Biro Politik Bersatu:
Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah meneliti kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam sidang media beliau di Rusila pada 22 Mei 2026.
Dalam sidang media tersebut, beliau telah mengemukakan beberapa asas yang akan dipertimbangkan oleh parti Pas untuk mengkaji semula hubungan dengan Bersatu. Antaranya ialah isu pertukaran Menteri Besar Perlis, tuduhan Bersatu tiada jentera pilihan raya, tindakan disiplin terhadap ahli-ahli Bersatu dan krisis politik di Negeri Sembilan.
Bersatu berpandangan bahawa isu-isu ini sepatutnya dibawa ke meja musyawarah antara kedua-dua parti dan diselesaikan secara dalaman dengan penuh harmoni.
Namun, oleh kerana Presiden Pas telah membuat kenyataan terbuka mengenainya, maka Biro Politik Bersatu berpendirian bahawa perkara-perkara tersebut perlu diperjelaskan kepada umum supaya tidak menimbulkan salah faham dan persepsi negatif terhadap Bersatu dalam kalangan ahli-ahli parti dan masyarakat.
ISU PERTUKARAN MB PERLIS
Mengenai pertukaran Menteri Besar Perlis, Bersatu berpendirian bahawa perkara ini tidak perlu dipertikaikan lagi kerana pelantikan Menteri Besar adalah kuasa budibicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Apatah lagi Tuanku Syed Sirajuddin telah memberi ruang secukupnya kepada Pas untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri Perlis dengan baik.
Ruang perbincangan juga telah diberikan secara adil untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit secara harmoni. Tuanku Syed Sirajuddin telah menitahkan supaya Presiden Bersatu dan Presiden Pas menghadap baginda pada 25 Oktober 2025 untuk membincangkan isu berkaitan kedudukan Menteri Besar. Presiden Bersatu telah bersedia untuk menghadap tetapi sesi menghadap terpaksa dibatalkan kerana Presiden Pas atas sebab-sebab tertentu tidak dapat hadir.
Selepas itulah Tuanku Syed Sirajuddin menitahkan supaya kedua-dua parti mengemukakan nama calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan oleh baginda. Bersatu menjunjung titah Tuanku dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Tuanku sama ada untuk melantik seorang Menteri Besar dari parti Bersatu atau Pas mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
Jadi, tuduhan bahawa Bersatu khianat adalah melampau kerana apa yang dilakukan oleh parti Bersatu dalam menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin adalah teratur dan beradab.
Tuduhan bahawa ADUN-ADUN Bersatu menarik sokongan daripada Menteri Besar Perlis dari parti Pas juga adalah tidak benar. Mereka hanya menyerahkan kepada kebijaksanaan Tuanku Syed Sirajuddin untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri tersebut mengikut kuasa budi bicara baginda.
BERSATU LEBIH RAMAI CALON DARIPADA JENTERA
Berhubung dakwaan bahawa Bersatu hanya memperbanyakkan calon tetapi tiada jentera, Bersatu sentiasa berusaha untuk meningkatkan kekuatan di peringkat akar umbi. Dalam beberapa bulan ini, Ibu Pejabat Bersatu menerima ratusan permohonan ahli baharu setiap hari dan ini membuktikan Bersatu sedang berkembang dengan tenaga baharu khususnya anak muda.
Selain dari jentera dan ahli parti, kekuatan Bersatu dalam semua pilihan raya adalah jenama Bersatu yang menjadi daya tarikan rakyat Malaysia selain pengalaman dan rekod para pemimpin Bersatu yang telah teruji dan terbukti berjaya mengurus dan mentadbir negara dengan baik. Wajah sederhana, inklusif, progresif dan dasar prihatin rakyat serta pengalaman yang wibawa telah melonjakkan sokongan pengundi kepada calon-calon Bersatu dan parti-parti lain dalam Perikatan Nasional.
TINDAKAN DISIPLIN TERHADAP AHLI-AHLI BERSATU
Dakwaan Bersatu mengganggu kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dan Kelantan dengan mencadangkan rombakan pertukaran Ahli EXCO Kerajaan Negeri dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri adalah tidak berasas sama sekali. Setiap parti politik mempunyai tatacara etika serta disiplin yang perlu dipatuhi oleh ahli-ahlinya.
Keberadaan EXCO dan Timbalan Speaker tersebut di jawatan mereka adalah atas kapasiti sebagai ahli Bersatu. Apabila Lembaga Disiplin Bersatu telah mengambil tindakan disiplin dan mereka tidak lagi menjadi ahli parti, maka Bersatu menghantar cadangan nama pengganti.
Adalah menjadi amalan biasa rombakan dibuat apabila terdapat ahli parti yang memegang jawatan dalam kerajaan diambil tindakan disiplin oleh partinya.
Lembaga Disiplin mengambil tindakan terhadap ahli-ahli parti yang terlibat berasaskan bukti dan aduan yang diterima oleh Lembaga Disiplin yang kemudiannya telah mendengar, menyiasat dan membuat keputusan berdasarkan Fasal 22.5 Perlembagaan Parti. Ini adalah isu disiplin yang mesti dipatuhi oleh semua ahli parti.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) melalui surat bertarikh 7 Mei 2026 telah memaklumkan hasil siasatan terhadap Bersatu berhubung isu yang dikaitkan dengan tindakan oleh Lembaga Disiplin. ROS mengesahkan bahawa Bersatu telah mengambil tindakan selaras dengan peruntukan perlembagaan parti dan berpuas hati dengan tindakan dan keputusan yang telah diambil oleh Bersatu.
Malah, tindakan disiplin yang diambil mengikut lunas perlembagaan parti adalah kaedah penting dalam mana-mana parti untuk menjamin kestabilan dan integriti parti terumanya ketika berhadapan dengan krisis yang boleh memecah-belahkan parti.
Maka, Pas sebagai parti anggota dalam Perikatan Nasional sewajarnya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti anggota yang lain berkaitan hal disiplin parti dan tindakan-tindakan yang diambil untuk menstabilkan parti. Apatah lagi ROS telah mengesahkan bahawa tindakan Bersatu terhadap wakil-wakil rakyat Bersatu adalah berperlembagaan.
KRISIS POLITIK NEGERI SEMBILAN
Mengenai krisis politik di Negeri Sembilan,Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, telah bekerjasama rapat dari awal untuk menguruskan krisis tersebut. Kedua-dua parti telah bersetuju supaya lima ADUN Negeri Sembilan dari Perikatan Nasional, iaitu dua ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas, bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO untuk menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
Namun, merujuk pendirian Biro Politik UMNO Malaysia dan pendirian Presiden UMNO dalam Sambutan 80 Tahun UMNO yang mengambil ketetapan bahawa 14 ADUN UMNO kekal bersama dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan, Setiausaha Agung Bersatu telah menghubungi Setiausaha Agung Pas pada 28 April 2026 jam 11.06 pagi untuk berbincang pendirian yang perlu diambil secara bersama oleh Bersatu dan Pas. Walau bagaimanapun, perbincangan tidak dapat diadakan kerana Setiausaha Agung Pas memaklumkan beliau berada di Kota Baharu.
Keesokannya iaitu 29 April 2026 jam 11.06 pagi, Setiausaha Agung Bersatu sekali lagi menghubungi Setiausaha Agung Pas untuk meminta nasihat. Mengambil kira UMNO kekal mendukung kerajaan PH di Negeri Sembilan, maka tindakan ADUN PN kekal bekerjasama dengan ADUN UMNO tidak lagi sesuai. Malah ini akan memberikan gambaran salah bahawa PN bersetuju dengan tindakan UMNO mendukung kerajaan PH di Negeri Sembilan.
Bagi mengelakkan gambaran salah ini, Setiausaha Agung Bersatu mencadangkan supaya PN menarik diri daripada memberikan sokongan kepada 14 ADUN UMNO. Namun, tiada jawapan diterima daripada Setiausaha Agung Pas.
Pada 30 April 2026 jam 11.53 pagi, sekali lagi Setiausaha Agung Bersatu menghubungi Setiausaha Agung Pas meminta untuk berjumpa dan berbincang tetapi tiada maklum balas diberikan.
Dari 28 April sehingga 5 Mei 2026, Pas gagal untuk memberikan sebarang maklumbalas kepada cadangan Bersatu untuk menarik sokongan setelah UMNO kembali menyokong kerajaan PH di Negeri Sembilan. Asas pendirian Bersatu adalah jelas dan konsisten bahawa sebarang kerjasama dengan UMNO boleh diadakan dengan syarat parti itu memutuskan hubungan dengan PH.
Isu kemelut politik di Negeri Sembilan telah dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Pas dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei 2026. Setiausaha Agung Bersatu telah memberikan jawapan yang panjang lebar mengenai kronologi peristiwa dan perbincangan dengan Setiausaha Agung Pas sebelum dan selePas kemelut tersebut.
Mesyuarat MT PN pada 16 Mei 2026 seterusnya mengambil maklum penjelasan yang telah dibuat oleh Bersatu tanpa ada sebarang bantahan.
Maka, tuduhan bahawa Bersatu mengambil tindakan secara bersendirian dalam menangani krisis politik di Negeri Sembilan adalah tidak benar sama-sekali.
SURAT DARIPADA PAS MENUNTUT PENJELASAN BERSATU
Setiausaha Agung Bersatu telah menerima surat daripada Setiausaha Agung Pas memohon penjelasan parti Bersatu mengenai kemelut politik di Negeri Sembilan. Surat dihantar menerusi pesanan whatsapp pada 20 Mei 2026 jam 12.55 tengahari.
Setiausaha Agung Bersatu telah memberikan jawapan ringkas kepada Setiausaha Agung Pas pada jam 12.58 tengahari bahawa pendirian Bersatu telah dibentangkan dengan jelas dalam mesyuarat MT PN pada 16 Mei 2026. Bersatu akan menjawab surat Setiausaha Agung Pas secara terperinci.
KEMASUKAN PARTI-PARTI LAIN DALAM PERIKATAN NASIONAL
Biro Politik Bersatu menyangkal dakwaan bahawa Bersatu menolak penyatuan ummah dengan tidak menyokong permohonan parti-parti lain untuk menjadi parti anggota PN. Pendirian Bersatu ialah PN boleh mengadakan kerjasama pilihan raya (electoral pact) terlebih dahulu dengan parti-parti ini dan kemasukan mereka sebagai parti anggota PN boleh dipertimbangkan kemudian.
Inilah pendirian dan keputusan PN sebelum ini. Pendirian ini dikekalkan dalam mesyuarat MT PN pada 16 Mei 2026 dan sebuah jawatankuasa diwujudkan untuk memperhalusi terma-terma kerjasama pilihan raya termasuk pembahagian kerusi.
Walaupun pelbagai pandangan dikemukakan dalam mesyuarat MT PN, keputusan ini dicapai secara bersama dan dipersetujui oleh semua ahli mesyuarat. Ini adalah keputusan kolektif yang dibuat secara konsensus demi kepentingan strategik dan kestabilan Perikatan Nasional secara keseluruhannya.
Bersatu ingin melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Presiden Pas. Bersatu berpegang kepada prinsip musyawarah dan perbincangan dalam MT PN berhubung perkara dasar dan perkara yang berbangkit dalam kerjasama PN.
Bersatu mendukung semua keputusan MT PN yang dibuat dalam semangat PN yang saling menghormati dan meraikan perbezaan serta berjaya mencapai konsensus demi kesatuan dan kekuatan PN yang dibina sejak enam tahun yang lalu.
Adalah menjadi amalan PN semua perkara penting mengenai dasar dan halatuju PN serta isu-isu berbangkit dibawa ke mesyuarat MT PN, dibahas dan diputuskan secara musyawarah. Ini telah diamalkan sejak PN dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Adalah tidak wajar keputusan-keputusan MT PN dicabar atau dipertikaikan di luar MT yang memberi gambaran seolah ada Presiden parti yang diberikan kuasa veto.
PN telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan dalam perjalanan ini tetapi masalah yang besar berjaya dirungkai dengan semangat dan keluhuran prinsip dan kebijaksanaan kepimpinan.



