BERSATU Larut, Lembah Pantai umum bubar

BERSATU Larut, Lembah Pantai umum bubar

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas beberapa pemimpin kanan disingkirkan, BERSATU Lembah Pantai dan Larut tampil mengumumkan pembubaran kedua-dua bahagian itu, berkuat kuasa malam tadi.

Menerusi rakaman disiarkan di Facebook rasmi BERSATU, kepemimpinan BERSATU Larut dan Lembah Pantai menegaskan tindakan itu dibuat kerana mereka hilang kepercayaan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Ketua BERSATU Larut, Mohd Noh Md Daud, berkata keputusan itu dibuat selepas menerima mandat penuh daripada kepemimpinan pelbagai peringkat di bahagian berkenaan.

“Sebanyak 48 cawangan (di bawah BERSATU Bahagian Larut) mengisytiharkan pembubaran BERSATU Larut kerana hilang kepercayaan kepada kepemimpinan parti diterajui Muhyiddin.

“Ini diperkuatkan lagi dengan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua BERSATU Larut, Mohd Hassundi Hamzah,” katanya.

Ketua Penerangan BERSATU Larut, Mohd Azurin Abdul Wahab, pula memaklumkan seluruh kepemimpinan bersama semua jawatankuasa bahagian itu meninggalkan BERSATU.

“Keputusan ini diambil selepas melihat pergolakan dalaman disebabkan BERSATU sudah hilang arah tuju dan kemuncaknya ialah pemecatan Hamzah dan Mohd Hassundi.

“Saya bersama jawatankuasa dan ketua cawangan hilang kepercayaan kepada Muhyiddin,” katanya.

Berita lanjut menyusul

Kelmarin, BERSATU dilapor memecat 17 ahlinya, termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selain Hamzah yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, turut dipecat ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

ADUN dipecat pula dari Sungai Manik yang juga Ahli MPT, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Bemban merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Setiausaha BERSATU Sabah merangkap Ketua BERSATU Libaran, Yunus Nurdin.

Pemimpin akar umbi dipecat ialah Ketua BERSATU Teluk Intan, Kamaruddin Majid; Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd Hassundi (Larut); Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) dan Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun).

Turut dikenakan tindakan sama, Ketua Srikandi Muda BERSATU Sabah, Nabila Norsahar dan Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

Keahlian mereka dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU, namun berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan dikemukakan.

Sementara itu, Ketua BERSATU Lembah Pantai, Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata ketetapan berkenaan dibuat tanpa sebarang paksaan dengan surat pemakluman berhubung perkara itu akan diutus ke Ibu Pejabat BERSATU.

“Kami berterima kasih kepada BERSATU atas peluang diberikan dan insya-Allah akan terus menyumbang kepada rakyat setempat dengan cara tersendiri, melalui NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan sebagainya.

“Semoga terus maju jaya dan kami memohon maaf, insya-Allah kita berjumpa lagi di lapangan berlainan,” katanya sambil diiringi kepemimpinan pelbagai peringkat BERSATU Lembah Pantai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top