bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: Lembaga Disiplin BERSATU memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian selama satu penggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.
Kedudukan Wan Saiful dan Ahmad Fayhsal sebagai Ahli Parlimen bagaimanapun tidak terjejas memandangkan pemecatan keahlian dalam mana-mana parti tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya undang-undang bertukar parti.
Dalam satu kenyataan, lembaga disiplin itu memaklumkan, tindakan pemecatan keahlian turut dikenakan ke atas empat lagi ketua bahagian parti itu.
Bagaimanapun katanya, mereka yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman adalah berhak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.
“Lembaga Disiplin sudah membuat keputusan berdasarkan siasatan yang sudah dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa membabitkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas dan tidak berat sebelah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Empat lagi pemimpin akar umbi BERSATU yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.
Mengulas lanjut, Lembaga Disiplin memaklumkan bahawa mereka diambil tindakan atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Lembaga Disiplin sudah menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap responden berikut berhubung pelanggaran peruntukan perlembagaan dan tatakelakuan ahli parti.
“Sehubungan itu, Lembaga Disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan dan memanggil responden untuk satu sesi pendengaran pada 8 Oktober lalu dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan FASAL 22.5 Perlembagaan BERSATU,” katanya.
Katanya, Lembaga Disiplin sentiasa bertindak secara telus, adil dan berlandaskan perlembagaan parti, selain menggesa kepada ahli parti supaya mematuhi Perlembagaan dan Peraturan Kod Etika & Tatakelakuan Ahli demi menjaga nama baik BERSATU.
Sementara itu, difahamkan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan Wan Saiful dan pemimpin terbabit tengah hari ini, bagi mengulas tindakan disiplin yang dikenakan ke atas mereka.
Mereka sebelum ini didakwa terbabit mengumpul SD dalam kalangan ketua bahagian BERSATU di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepemimpinan parti kepada Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pada 25 September lalu, Lembaga Disiplin BERSATU terpaksa menangguhkan prosiding bagi memanggil beberapa pemimpin parti, berhubung isu SD bagi mendesak Tan Sri Muhyiddin Yasin berundur kerana tidak cukup korum berikutan ketidakhadiran seorang ahli panelnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



