SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilapor sudah bersetuju dengan tiga syarat saat akhir yang dikemukakan Pas sebelum parti itu bertindak memutuskan kerjasama politik serta-merta, dedah Datuk Dr Marzuki Mohamad.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata, tiga syarat dimaksudkan adalah Bersatu perlu membersihkan persepsi negatif terhadap Pas, menerima penyertaan parti-parti lain ke dalam Perikatan Nasional (PN) dan mesti duduk semeja dengan kumpulan ‘Reset’ diketuai Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurut Marzuki, jika syarat-syarat tersebut dapat dipenuhi oleh Bersatu, Pas akan istiqamah mengekalkan hubungan kerjasama dalam PN.
Jelas beliau, pihaknya menarik nafas lega selepas membaca surat bertarikh 6 Jun itu kerana konteksnya tidak jauh berbeza daripada apa yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa dalam satu pertemuan dengan Muhyiddin pada 4 Jun lalu.
“Saya berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin bahawa syarat-syarat ini boleh dipertimbangkan oleh Bersatu demi menjaga perpaduan dan keutuhan PN.
“Cuma Bersatu ada tertib dalam membuat keputusan penting seperti ini. Ia mesti dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk diputuskan, barulah boleh maklumkan kepada Pas dan seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.
“Keesokannya (7 Jun), Tan Sri Muhyiddin menjawab surat Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu dan menyatakan kesediaan Bersatu untuk meneliti syarat-syarat Pas dalam Mesyuarat MPT BERSATU yang bakal diadakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Marzuki juga memaklumkan sempat menghubungi Takiyuddin untuk menyerahkan surat balasan tersebut.
“Oleh kerana beliau (Takiyuddin) berada di luar Kuala Lumpur, beliau meminta saya menyerahkan surat tersebut kepada seorang sahabat saya daripada Pas untuk disampaikan kepadanya.
“Dalam pertemuan ringkas bersama sahabat saya ini, saya jelaskan kepadanya kesediaan Bersatu untuk mempertimbangkan ketiga-tiga syarat Pas. Saya memberi bayangan ia tidaklah terlalu berat untuk dipenuhi,” ujarnya lagi.
Namun kata Marzuki, Jawatankuasa Pas Pusat keesokannya (8 Jun) tiba-tiba membuat keputusan drastik memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Dalam nada terkilan, beliau bagaimanapun menerima keputusan Pas dengan hati terbuka jika itu kehendaknya.
“Sebagai sebuah parti politik, Pas tentunya memikirkan untung rugi politik dalam menentukan hala tuju partinya, termasuklah hubungan dengan rakan-rakan gabungan.
“Saya ada ramai sahabat dalam Pas. Walaupun hubungan politik telah putus, harapnya hubungan persahabatan tidak putus,” jelasnya.
Pas pada Isnin lepas mengejutkan landskap politik tanah air apabila membuat ketetapan mengejut untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan rakan sekutunya dalam PN iaitu Bersatu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan memutus hubungan itu dibuat selepas parti meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.
Menurut beliau, mesyuarat turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah mengenai kerjasama politik parti itu atas prinsip penyatuan ummah.



