BERSATU Subang dan Pasir Salak terbubar

BERSATU Subang dan Pasir Salak terbubar

mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Seluruh Jawatankuasa (AJK) BERSATU Subang meletak jawatan serta menamatkan keahlian parti berkuat hari ini serta membubarkan seluruh jawatan kuasa peringkat cawangan di bawah seliaan bahagian itu.

Langkah itu turut dibuat BERSATU Pasir Salak yang bertindak meletak jawatan dan keluar parti atas sebab hilang kepercayaan terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha BERSATU Subang, Wan Ahmad Shukrie, berkata keputusan itu dibuat atas dasar prinsip dan integriti selepas mendapati hala tuju serta keputusan pimpinan tertinggi parti kini tidak lagi selari dengan mandat dan aspirasi akar umbi.

“Masa depan sesebuah wadah perjuangan politik tidak seharusnya bersandarkan kepada survival kelompok kecil.

“Sebaliknya, ia mesti berpaksikan kepada mandat rakyat dan aspirasi akar umbi yang menjadi nadi kekuatan parti.

“Atas dasar prinsip yang tidak boleh dikompromi, kami selaku barisan kepimpinan Jawatankuasa BERSATU Bahagian Subang meletak jawatan secara kolektif daripada semua jawatan yang disandang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara pimpinan yang mengambil tindakan berprinsip ialah Ketua Bahagiannya, Asyraf Halim; Timbalan Ketua, Mohd Shahril Hashim; Naib Ketua, Iskandar Al Quyyum; Timbalan Pengerusi Tetap, Azhari Bin Yusof; Setiausaha, Wan Ahmad Shukrie; Bendahari, Adleezan Pakhalan Ketua Penerangan; Muhammad ‘Afifurrahman; Ketua ARMADA, Mohamed Rizwan dan Ketua Sayap Bersekutu, Wong Yong Kang.

Turut berbuat demikian tujuh Ahli Jawatankuasa (AJK) iaitu Wan Ahmad Shukrie yang juga Setiausaha; Mohd Hafiz Md Azuz, Mohd Shafiq, Na’el Baredhwan, Muhamad Zalimi, Zuraime Sarpin dan Syafiq Mohd Zin.

Ahmad Shukrie berkata, keputusan kolektif itu diambil dengan berat hati namun penuh tanggungjawab.

“Kami mendapati hala tuju serta keputusan yang diambil oleh pimpinan tertinggi kini tidak lagi selari dengan mandat serta aspirasi ahli di peringkat akar umbi.

“Apabila visi perjuangan asal mula terhakis, integriti menuntut kami untuk mengundur diri secara terhormat.

“Sesungguhnya, perjuangan membela rakyat memerlukan ketegasan dalam memelihara nilai dan idealisme.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala peluang dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang tempoh kami berkhidmat,” katanya.

Katanya, Ramadan didoakan menjadi bulan penuh keberkatan ini membawa kebaikan kepada semua dalam meneruskan khidmat kepada nusa dan bangsa.

Dalam pada itu, seluruh jawatan kuasa BERSATU Bahagian Pasir Salak turut membuat keputusan meletak jawatan serta keluar parti.

Keputusan meninggalkan parti dibuat selepas mesyuarat khas bahagian berkenaan semalam kerana hilang kepercayaan kepada Muhyiddin Yasin sebagai presiden.

Kenyataan mengenai keputusan itu dibacakan Pemangku Timbalan Ketua Bahagiannya, Mohamad Zahid Aman Nauri.

“Kami seluruh AJK BERSATU Bahagian Pasir Salak dengan saya Timbalan Ketua Bahagian selaku Pemangku): Mohamad Zahid Aman Nauri; Naib Ketua Bahagian, Mohamad Zainal Abidin Saini; Setiausaha Bahagian, Abdul Manaf Saud; Bendahari, Mohamad Aiman Abdul Majid; Ketua Penerangan, Nor Azman Askar meletak jawatan dan keluar parti.

“Turut berbuat demikian Ahli Jawatankuasa: Sazali Ismail, Ahmad Razali Sulamat, Baharudin Osman, Izuddin Isa, Hamdan Rahim, Mohamad Kamil Adnan, Abu Bakar Ismail, Mohd Ali Sahrum, Prof Shamsul Nahar Abdullah sertaempat AJK Lantikan, Mohamad Saimi Sulaiman; Najib Mustafa, Nuraini Nadi dan Mohamad Hazir Tayib,” katanya.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas bahagian semalam dan secara rasmi bahagian Pasir Salak terbubarnya.

“Selepas mengadakan mesyuarat khas bahagian, kami bersetuju dan istiqamah pada hari ini (semalam) 20 Februari 2026 meletakkan jawatan kami dan mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa secara serta-merta,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top