Bersatu Tenggara bubar, ketua bahagian, ahli jawatankuasa keluar parti

Bersatu Tenggara bubar, ketua bahagian, ahli jawatankuasa keluar parti

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Bersatu Bahagian Tenggara terbubar serta-merta apabila ketuanya bersama ahli jawatankuasa mengumumkan keluar dari parti itu, hari ini.

Bekas Ketua Bersatu Bahagian Tenggara, Hassan Rasid berkata, keputusan untuk keluar daripada parti itu diambil selepas melalui proses pertimbangan yang mendalam dan merujuk kepada beberapa isu yang dianggap kritikal.

Menurutnya, mereka merasakan tidak lagi yakin dengan kepimpinan tertinggi parti yang dilihat gagal menguruskan parti, lemah, tidak amanah, tiada integriti serta gagal melaksanakan tanggungjawab.

“Tiga cawangan Srikandi yang layak bersidang iaitu Cawangan Bandar Tenggara Selatan, Pengeli Timur dan Pelepah Valley juga tidak tersenarai dalam perwakilan pemilihan Srikandi Bahagian Tenggara pada 26 Oktober lalu, sebaliknya Jawatankuasa Srikandi Bahagian Tenggara digantung daripada bersidang.

“Kelmarin, pada jam 6.30 petang, kami menerima mesej melalui WhatsApp mengenai pembatalan tiga cawangan di Tenggara bagi hari pemilihan yang akan berlangsung hari ini.

“Cawangan yang terbabit adalah Kota Jaya Selatan, Bandar Tenggara Selatan serta Sungai Telor dan kami hanya menerima surat rasmi pada semalam dari pihak pengurusan,” katanya ketika sidang media di Dewan Sri Teratai Kampung Batu 4 di sini, hari ini.

Hassan berkata, situasi itu menunjukkan bahawa pimpinan tertinggi tidak mengambil langkah yang cermat, tidak teliti serta gagal memahami keputusan yang diambil.

Menurutnya, keputusan sebulat suara itu diambil selepas mempertimbangkan maruah serta kepentingan hak ahli, serta ketidaktelusan pihak pengurusan dalam menangani isu berkenaan.

Sementara itu, lima laporan polis dibuat termasuk dibuat olehnya, cawangan Bandar Tenggara, Tenggara Selatan, Pelepah Valley dan Pengeli Timur.

Katanya, kira-kira 500 ahli dari cawangan-cawangan berkenaan juga dijangka mengikuti jejak langkah mereka keluar daripada parti itu.

Beliau memaklumkan, bahagian itu mempunyai 19 cawangan dengan jumlah ahli keseluruhan adalah seramai 1,263 ahli.

“Dengan keputusan ini Bersatu Bahagian Tenggara terbubar. Kami sepatutnya bersidang malam ini, semua persiapan sudah siap dibuat termasuk tempahan makanan dan dewan.

“Buat masa ini, kami akan berehat dahulu dan terus aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) untuk kebajikan rakyat. Kita juga tidak ada rancangan untuk masuk mana-mana parti,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepimpinan beliau

sepanjang tempoh mereka sebagai ahli Bersatu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top