Bersedia untuk inflasi makanan

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan memansuhkan subsidi ayam, telur dan minyak masak botol dijangka akan menyebabkan inflasi makanan melonjak dalam situasi harga komoditi global yang lebih tinggi.

Menurut MIDF Research, sepanjang 2011 hingga 2019, purata inflasi makanan ialah 2.9 peratus setahun dan setakat empat bulan tahun ini, harga makanan meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun.

Firma penyelidikan itu kemudian meramalkan tekanan inflasi keseluruhan mungkin mencapai lebih 3.0 peratus jika inflasi makanan meningkat lebih tinggi daripada paras semasa tahun ini.

“Inflasi makanan akan meningkat kepada 3.5 peratus pada 2022 dan sederhana kepada 2.9 peratus pada 2023, mencerminkan sedikit peningkatan dalam bekalan makanan domestik.

“Sekiranya bekalan makanan domestik semakin teruk, inflasi utama mungkin menyentuh puncak baharu iaitu pada 5.8 peratus tahun ke tahun jika inflasi makanan melonjak sebanyak 7.0 peratus tahun ini dan 10 peratus pada 2023,” katanya dalam nota kajian.

MIDF Research berkata, senario ini dibuat berdasarkan andaian bahawa harga minyak mentah Brent berada pada paras purata AS$112 setong tahun ini dan AS$120 setong pada 2023.

“Paling penting, subsidi bahan api untuk RON95 dan Diesel diandaikan kekal pada paras semasa sehingga akhir 2023. Kami juga meneroka senario lain terutamanya jika subsidi bahan api dihapuskan secara beransur-ansur dan serta-merta. 

“Walaupun dengan fasa beransur-ansur, inflasi utama akan meningkat melepasi 5.0 peratus pada 2023 kerana pengguna dan pengeluar perlu menyesuaikan dan menormalkan daripada RON95 bersubsidi RM2.05 seliter kepada RM4.67 seliter menjelang akhir 2023. 

“Pada ketika ini, kebanyakan ekonomi menghadapi trilema dasar terutamanya dalam mengimbangi antara pertumbuhan ekonomi, risiko inflasi dan beban fiskal.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

Tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga barangan. – UTUSAN