Bersemadi di negara abadi…

Bersemadi di negara abadi…

HIDUP di dunia ini begitu mempesonakan, ‘menyihir’ mata dan telinga, malah hati serta jiwa. Pun demikian, apabila digoda dengan harta, manusia mudah alpa sehingga terjerumus ke dalam jurang kebinasaan.

Ketahuilah bahawa bumi yang dihuni kita pada hari ini hanyalah bersifat sementara, akhiratlah merupakan tempat paling abadi.

Dalam kitabullah, Allah SWT jelas mengingatkan umat-Nya untuk mengutamakan akhirat. Renungilah sedalam-dalamnya maksud di dalam Surah al-An’am, ayat 32: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?”

Tidak salah sebenarnya untuk mengecapi nikmat dunia seperti memiliki kemewahan, namun kita tidak boleh sesekali lupa dengan kehidupan di alam abadi. Mengertilah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

Allah telah menentukan ajal setiap insan sejak azali lagi. Apabila sampai ketikanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun.

Dalam Islam, di antara amalan yang diajar kepada umatnya adalah sentiasa mengingati mati. Maut diumpamakan sebagai ‘jodoh’ yang akan kita temui pada penamat perjalanan dalam hidup ini.

Justeru itu, kita digalakkan untuk ingat kepada kematian.

USTAZ KAMAL ASHAARI
Ahli Parlimen Kuala Krau
Mudir KOMTAQ
18 Jamadil Akhir 1444 / 11 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 11/1/2023

The post Bersemadi di negara abadi… appeared first on HarakahDaily.