am@hmetro.com.my
Besut: Seorang pemuda menjadikan kerjaya mencuci serta mengecat belindan kubur sebagai aktiviti mengisi masa lapang yang boleh menjana pendapatan sampingan.
Muhamad Zuhri Mat Juhan, 35, berasal dari Kampung Tembila di sini, berkata, idea asal dicetuskan seorang rakannya yang menyedari tiada perkhidmatan seumpama itu disediakan di kawasan berkenaan.
Dia yang juga penyelia kebersihan kontrak berkata, lebih bermakna lagi apabila usahanya itu mendapat sambutan baik daripada waris yang tinggal di luar daerah ini. “Mereka meminta saya membantu membersihkan kubur ahli keluarga sepanjang ketiadaan mereka di kampung.
“Namun cabaran utama perlu dihadapi adalah mencari kubur waris terutamanya kubur lama berikutan tulisan pada batu nisan sudah pudar dan ada antaranya tiada nama.
“Bagaimanapun saya bernasib baik kerana semua waris yang pernah berurusan mudah memberi kerjasama untuk menjejaki kubur ahli keluarga mereka berpandukan gambar dan peta lokasi kubur,” katanya.
Menurutnya, perkhidmatannya itu mula ditawarkan pada April tahun lalu sebelum diteruskan semula pada tahun ini.
“Selalunya saya dibantu seorang pekerja akan memulakan kerja membersih kubur dengan membuang lumut pada batu nisan serta mengecat belindan kubur selepas waktu Asar.
“Tempoh masa untuk melakukan kerja itu mengambil masa kira-kira satu jam bermula dari proses mencuci dengan menggunakan semburan air ‘water jet’, proses pengeringan seterusnya mengecat belindan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tembila, di sini, tadi.
Zuhri yang juga anak keempat daripada enam beradik berkata, kebiasaannya mereka mampu membersih dan mengecat kira-kira lima belindan kubur setiap cuti hujung minggu iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu.
“Harga perkhidmatan bergantung kepada pakej yang dipilih sama ada mencuci atau disertai tugas mengecat bermula antara RM 50 sehingga RM 150.
“Namun sekiranya jarak lokasi melebihi lima kilometer daripada kawasan ini, saya akan mengenakan sedikit caj kos pengangkutan,” katanya.
Katanya, sebelum ini dia hanya menawarkan cat berwarna putih namun kini pelanggan boleh memilih warna mengikut pilihan mereka.
“Setakat ini pelanggan saya terdiri daripada waris tinggal sekitar Kuala Lumpur, Johor dan beberapa lokasi luar dari Terengganu yang sukar pulang untuk membersihkan kubur keluarga mereka.
“Saya merancang untuk meluaskan lagi perkhidmatan ini ke kawasan lain serta membuka peluang kepada lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang ini dan membantu masyarakat menjaga kebersihan kubur waris mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




