saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Semua pihak diminta bertenang serta mendapatkan cerita sebenar berhubung kekecohan yang berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), semalam.
Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, Islam mengajar tentang ‘tabayyun’ iaitu mendapatkan situasi sebenar sebelum mula memberikan tindakan atau kenyataan.
Menurutnya, tindakan terburu-buru dengan memberikan komen yang tidak menepati fakta sebenar hanya akan mengeruhkan keadaan sedia ada.
“Negara ini adalah negara berasaskan kepada undang-undang dan semua pihak perlu akur dengan perundangan sedia ada tanpa kompromi.
“Bagaimanapun, dalam melaksanakan perundangan berkenaan juga perlulah mengutamakan sifat kemanusiaan sekali gus tidak berlaku penindasan kepada pihak lain.
“Dalam insiden yang berlaku malam tadi (di Jalan TAR), saya fikir perlu kita bertenang dahulu tanpa memanaskan isu sedia ada yang akan mengundang kepada suasana kurang harmoni.
“Kita perlu beri laluan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan sekali gus tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh,” katanya.
Berdasarkan dua rakaman video tular berdurasi lebih tiga minit di media sosial sejak awal pagi tadi, berlaku aksi tolak menolak antara pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sekumpulan peniaga yang cuba mempertahankan barangan jualan mereka.
Terdahulu, kenyataan DBKL menjelaskan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap penjaja belon tanpa lesen di Jalan TAR malam tadi.
Menurut DBKL, penjaja terbabit bertindak agresif ketika diberikan teguran kali ketiga sehingga berlaku sentuhan fizikal apabila dia menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.
Polis siasat kekecohan di Jalan TAR babit penguat kuasa, penjaja belon
DBKL perjelas tindakan ke atas penjaja belon di Jalan TAR
Jalan TAR kecoh, insiden peniaga belon
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd