Bertengkar mengenai parkir sebelum meninggal dunia

Bertengkar mengenai parkir sebelum meninggal dunia

bhnews@bh.com.my

SEREMBAN: Seorang lelaki tempatan ditemui mati selepas terbabit dalam pertengkaran dengan suspek warga asing di hadapan sebuah rumah di Temiang di sini, malam ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.17 malam mengenai kejadian.

Berikutan itu, katanya, polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui lelaki berusia dalam lingkungan 46 tahun terbaring di atas jalan yang sudah meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati, ia membabitkan masalah parkir kenderaan.

“Mangsa yang datang untuk berjumpa majikannya dikatakan meletak keretanya di hadapan sebuah rumah bernombor 244.

“Masalah parkir itu difahamkan sudah lama berlarutan dan pemilik rumah bernombor 244 itu meletakkan tanda larangan parkir kenderaan di jalan raya.

“Mangsa dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan itu dan membuat provokasi terhadap suspek sebelum kedua-duanya bertengkar,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, malam ini.

Selepas bertengkar, mangsa dikatakan keluar dari kawasan rumah itu sebelum rebah di jalan raya lalu meninggal dunia.

Beliau berkata, seorang lelaki warga asing berusia 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Suspek mengaku berlaku pertengkaran dengan mangsa akibat masalah parkir.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca kejadian dan kematian mangsa,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top