BERTINDAK ATAS KESEDARAN: HENTIKAN UCAPAN KEBENCIAN BERSAMA

Kuala Lumpur (Malay News, 04 June 2024): Ucapan kebencian, luka tak terlihat lebih menyakitkan.

Seperti yang kita sedia maklum, dunia bergerak semakin pantas, teknologi berkembang semakin pesat seiring dengan lidah dalam mengungkapkan kata-kata kesat.

Ini menjadi bukti bahawa perubahan berikut tidak hanya mengubah kaedah komunikasi, malah turut mempengaruhi cara berinteraksi dan tingkah laku individu. Akan timbulnya ucapan kebencian seiring dengan kemajuan teknologi seperti penggunaan platform media sosial antaranya menerusi Instagram, X, WhatsApp, Facebook dan juga Telegram.

Ucapan kebencian merupakan ucapan awam yang menyatakan kebencian atau menggalakkan keganasan terhadap individu serta kumpulan berdasarkan sesuatu perkara seperti jantina, bangsa, agama dan orientasi seksual.

Tanpa disedari, ucapan kebencian ini boleh disamakan dengan racun mahupun dadah yang berbahaya kerana kesannya yang meluas dan berlarutan.

Dalam pada itu, media sosial menjadi pengaruh yang amat kuat hingga berjaya mengawal fikiran dan mengisi jiwa masyarakat.

Lebih malang, kandungan-kandungan yang terdapat di media sosial mampu memberi impak yang besar terhadap emosi dan pandangan individu.

Kesannya, masyarakat acap kali berdepan dengan pertarungan antara realiti dan persepsi yang dibentuk oleh media.

Tidak hanya setakat itu, pandangan orang ramai terhadap sesuatu isu juga akan dipengaruhi oleh ucapan kebencian ini dan akhirnya akan mendorong kepada permusuhan dan jenayah kemanusiaan yang tidak terkawal.

Individu yang melakukan ucapan kebencian secara atas talian ini turut digelar sebagai keyboard warrior juga penyerang tidak berwajah yang lantang menaip papan kekunci atau skrin telefon bagi menyampaikan hujah dan pendapat mereka tanpa peduli akan rasional, adab serta perasaan mangsa.

Mereka ini yang mendorong terjadinya buli siber atau cyberbullying yang kian menjadi-jadi pada masa kini.

Buli siber merupakan ancaman siber ketiga terbesar di Malaysia, sejurus selepas penipuan dan penggodaman atas talian.

Statistik Malaysia mengenai buli siber pada tahun 2023, sehingga bulan Oktober menunjukkan peningkatan yang signifikan sebanyak 4,994 kes berbanding tahun lepas, 2022 iaitu sebanyak 3,887 kes. Statistik ini agak membimbangkan kerana peningkatan kes buli siber yang semakin serius saban tahun. Peningkatan masalah disiplin dikalangan pelajar sekolah juga turut meningkat dek berhubung kait dengan masalah buli siber yang berlaku.

Sejak akhir-akhir ini, isu ucapan kebencian atas talian sudah menjadi norma dalam hidupan harian, terutama sekali dalam kalangan pelajar sekolah sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun tinggi. Malah, ia boleh dikatakan sebagai sebuah trend yang menular dikalangan mereka. Pada masa kini, remaja dibesarkan dengan kewujudan teknologi yang semakin canggih dan kebanyakan ibu bapa juga semakin tidak cakna dan tidak mengambil serius akan pentingnya untuk mendidik anak-anak mereka tentang had pendedahan teknologi. Jika perkara ini tidak dibendung, isu seperti penyalahgunaan media sosial akan menjadi semakin berleluasa sehingga mampu memberi impak yang mendalam terhadap mangsa yang dibuli.

Faktor-faktor berlakunya gejala buli dan siber buli dikenalpasti berkait rapat antara satu sama lain. Antara isu hangat yang menjadi penyebab berlakunya gejala buli siber dikalangan pelajar adalah isu perkauman ataupun sering dikenali sebagai racism. Sebagai sebuah negara yang wujud dengan masyarakat berbilang kaum, isu perkauman bukanlah perkara asing yang dialami oleh masyarakat di negara ini. Hal ini melibatkan semua masyarakat dari pelbagai peringkat umur termasuklah pelajar sekolah.

Budaya membuli berdasarkan status taraf hidup pelajar juga merupakan salah satu faktor utama berlakunya buli siber. Lebih-lebih lagi kepada pelajar yang berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Perkongsian gambar atau video yang tidak sesuai juga merupakan salah satu faktor berlakunya gejala buli siber ini. Pembuli akan menyebarkan gambar ataupun video mangsa yang peribadi, intim juga memalukan tanpa persetujuan mangsa dengan niat untuk memalukan atau memeras ugut mereka.

Penyebab utama pelajar cenderung melakukan buli siber ini adalah untuk kepuasan diri mendapatkan populariti atau kuasa daripada rakan sebaya.

Kegagalan pihak tertentu dalam mengambil inisiatif untuk menangani isu ini menyebabkan keadaan akan menjadi semakin sukar untuk diatasi. Terdapat beberapa aspek kesan buli siber iaitu dari segi psikologi, fizikal, sosial dan akademik. Mangsa buli akan mula berasa tertekan dan perkara ini akan mendorong terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini seperti masalah kemurungan yang menyebabkan mereka menyakiti diri sendiri dan lebih teruk, berlakunya kes bunuh diri lantaran mangsa tiada lagi upaya untuk menghadapi masalah tersebut akibat tekanan jiwa melampau yang terpaksa ditanggung.

Terdapat satu kejadian yang berlaku di Padawan, Sarawak di mana seorang remaja dilaporkan membunuh diri selepas hasil undian dalam talian yang dilakukannya lebih banyak menyuruh berbuat demikian. Kes ini telah menarik perhatian penaung Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Tan Sri Lee Lam Thye.

Pencegahan awal dapat dibuat dengan memberi perhatian sepenuhnya kepada mangsa buli. Kebanyakan mangsa buli takut untuk mengadu atau meluahkan masalah yang dialami. Ini adalah kerana wujudnya persepsi dan ugutan yang menentang mangsa buli untuk tampil berterus-terang akan masalah yang dihadapi.

Menurut undang-undang di Malaysia, terdapat tiga undang-undang yang berkait dengan isu kesalahan penyebaran ucapan kebencian antaranya adalah di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan seseorang dengan niat hendak memecahkan keamanan awam. Seterusnya di bawah Seksyen 505 Akta Kanun Keseksaan iaitu membuat, menerbitkan atau menyebarkan khabar angin yang menyebabkan ketakutan kepada orang awam. Kedua-dua akta ini akan dikenakan hukuman denda dan atau penjara sehingga 2 tahun. Undang-undang yang terakhir di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia adalah kesalahan penggunaan tidak wajar perkhidmatan atau kemudahan internet yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 dan atau penjara sehingga 1 tahun.

Dalam Islam, wujud satu tuntutan yang menyuruh umatnya untuk mengeluarkan perkataan dan ucapan yang baik kerana ia merupakan perbuatan terpuji dan mendatangkan kebaikan.

Allah SWT memerintah untuk mengucapkan perkataan yang baik dan memberi kesenangan kepada orang lain. Ini terbukti dalam surah al- Baqarah ayat 83 Allah SWT berfirman:

“Ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.”

Peribahasa juga mengatakan “dikulum menjadi manikam, dimuntahkan menjadi sekam” yang membawa maksud diam itu lebih baik dari berkata-kata.

Maka, fikir kembali apa yang ingin diperkatakan. Adakah ia memberi kebaikan mahupun kemudaratan.

Bertepatan dalam usaha untuk mewujudkan kesedaran dan menangani ucapan kebencian dalam konteks undang-undang di Malaysia, pelajar dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam akan menganjurkan program di bawah inisiatif Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) dengan kolaborasi bersama program Generasi Madani (GenMADANI) yang merupakan wadah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membina karakter bangsa Malaysia menjadi generasi yang beradab, berakhlak dan berintegriti.

Program Apa Ke Hei Kome Ni Yeop? bertemakan “Hate Speech” ini akan memberi kesedaran dan membuka mata pelajar tingkatan Empat Kolej Vokasional Ipoh, Perak iaitu seramai 105 orang pelajar berkaitan isu ungkapan kebencian atas talian.

SULAM merupakan program komuniti dijayakan pelajar komunikasi daripada program MC244, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Periklanan, UiTM Shah Alam.

Oleh: Fatin Nabilah Anuar
Email: dokpanic3@gmail.com

Scroll to Top