Bertutur loghat kedah, kekal berkain pelekat!

Bertutur loghat kedah, kekal berkain pelekat!

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Misi Kebajikan dan Dakwah di Selatan Myanmar bersama Muslim Care Malaysia (MCM) baru-baru ini mempertemukan masyarakat yang masih mengamalkan budaya dan cara hidup Melayu sama seperti di Malaysia.

Terletak di daerah Bokpian, Myanmar, kebanyakan mereka bertutur dalam Bahasa Melayu ‘loghat’ Kedah, berpakaian baju Melayu dan berkain pelekat sebagai pakaian harian mereka.

Di samping itu, perkampungan Melayu yang jumlahnya kira-kira 35 buah ini masih menggunakan tulisan jawi, mengekalkan budaya berzanji dan nasyid, selain mempelajari Seni Silat Warisan Pusaka Kedah.

Walaupun mereka jarang menerima tetamu dari luar namun kehadiran peserta misi sudah disambut dengan meriah dan kemesraan oleh mereka.

Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail berkata, pihaknya berharap masyarakat di daerah Bokpian terus melestarikan budaya Melayu walaupun mereka terpisah dengan sempadan negara.

“Insya-Allah kita berharap masyarakat di sini mengekalkan budaya Kedah Tua dan kami akan terus menyantuni serta datang dari semasa ke semasa untuk kita bersama.

“Semoga Allah merahmati kita semua walaupun berbeza negara. Kita adalah satu rumpun,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Misi Kebajikan dan Dakwah Selatan Myanmar berkata, seekor lembu ‘ditumbangkan’ untuk dibuat jamuan di Kampung Tengah Seberang, Bokpian semasa lawatan ke kawasan itu.

“Kami menumbangkan seekor lembu untuk diadakan sebuah jamuan kenduri rakyat bersama masyarakat kampung ini dan juga kampung berdekatan.

“Mereka berbahasa dan budaya kita (bahasa Melayu). Suasana yang ada di sini juga tidak ubah seperti mana kita berada di kampung sendiri.

“Cuma bezanya dari sudut pembangunan itu agak ketinggalan. Jadi, Muslim Care berhasrat untuk meneruskan komitmen bantuan kepada masyarakat Melayu Islam di sini melalui program yang bakal dirancang kelak,” katanya.

Dalam pada itu, seorang exco MCM, Muaz Hasan pula menyatakan mereka terharu apabila menerima sambutan daripada penduduk kampung di kawasan itu.

“Seolah-olah masyarakat di sini sudah kenal kami dengan begitu lama. Bila kita jumpa, berpeluk dengan begitu erat seolah-olah mereka macam sudah kenal kami lama.

“Walaupun kita berbeza wilayah tapi asal keturunannya adalah sama, berbahasa Melayu dan Islam. Mereka juga bercakap dialek Kedah,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Tengah Seberang, Syarkawi Abdul Aziz melahirkan rasa kesyukuran atas lawatan dan ziarah yang dilakukan oleh MCM terhadap mereka.

“Sebelum ini, tak ada lagi orang daripada luar untuk datang ziarah dan tengok kami di sini.

“Inilah pertama kali saudara kita Muslim Care hadir ziarah kami di sini. Kami berasa seronok dan bangga dengan kehadiran saudara kita supaya boleh lihat kekurangan dan kesusahan kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top