
Chen dihantar semula ke pusat tahanan untuk menghabiskan baki hukuman penjara. Foto hiasan
BEIJING – Seorang wanita di China berulang kali hamil hingga melahirkan tiga anak dalam tempoh empat tahun semata-mata untuk mengelak hukuman penjara lima tahun.
Menurut laporan Shanxi Evening News, wanita dikenali dengan nama samaran Chen Hong itu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan penipuan pada Disember 2020 di wilayah Shanxi.
Bagaimanapun, dia tidak pernah benar-benar dipenjarakan kerana mengambil kesempatan terhadap kelonggaran undang-undang di negara tersebut.
Mengikut peraturan di China, pesalah yang menghidap penyakit serius, sedang hamil atau menyusukan bayi dibenarkan menjalani hukuman di luar penjara.
Mereka akan menjalani perkhidmatan koreksional komuniti di rumah atau hospital dengan pemantauan institusi berkaitan.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Chen yang berkali-kali hamil bagi mengelak ditahan.
Bagaimanapun, wanita itu akhirnya kantoi apabila pendakwa raya mendapati Chen yang baru melahirkan anak ketiga tidak tinggal bersama bayinya ketika pemeriksaan pada Mei lalu.
Hasil siasatan mendapati anak ketiganya bukan tinggal bersama Chen, sebaliknya didaftarkan di bawah nama kakak iparnya.
Lebih mengejutkan, Chen turut mengaku sudah bercerai dan dua anak pertamanya diserahkan kepada bekas suami, manakala anak ketiga pula diserahkan kepada kakak bekas suaminya.
Pihak pendakwa percaya Chen menggunakan alasan kehamilan untuk melarikan diri daripada hukuman sebenar.
Akhirnya, Chen dihantar semula ke pusat tahanan bagi menghabiskan baki hukuman penjaranya yang tinggal kurang setahun.