PROJEK Ladang Fotovoltaik Solar dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di KLIA Aeropolis dijangka mengurangkan pelepasan karbon Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga sekitar 30 peratus apabila beroperasi sepenuhnya pada 2027.
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, sasaran itu merupakan sumbangan yang ketara ke arah operasi lapangan terbang yang lebih bersih dan bertanggungjawab.
Selain itu, pengurangan pelepasan karbon itu turut memperkukuh pencapaian dan kemajuan KLIA kepada Paras 5 setelah mencapai Paras 3 dalam Akreditasi Karbon Lapangan Terbang (ACA) oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI), katanya.
Beliau berkata, projek itu bukan sekadar inisiatif tenaga boleh baharu tetapi merupakan langkah strategik dalam menyokong penyahkarbonan dan meningkatkan daya tahan tenaga untuk infrastruktur pengangkutan negara yang kritikal.
“Pada 2025, KLIA mengendalikan 63.3 juta penumpang, mencerminkan operasi yang berskala besar dan kompleks. Skala operasi ini menuntut keupayaan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya tahan untuk memastikan kesinambungan operasi, kualiti perkhidmatan dan aspirasi Malaysia Airports dalam menjadikan Malaysia negara paling berhubung di Asia Tenggara menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis perasmian Ladang Fotovoltaik Solar dan BESS yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof di sini, kelmarin.
Di samping itu, mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, projek itu dibangunkan di kawasan ladang sawit sedia ada tanpa melibatkan penebangan hutan dan direka bentuk khusus untuk menyokong keperluan operasi di lapangan terbang.
“Ia membolehkan peralihan kepada penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih rendah karbon dilakukan secara praktikal, terancang dan sejajar dengan keperluan pertumbuhan jangka panjang KLIA sebagai hab penerbangan serantau,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




