Beto kena slip disc, kena kurangkan aksi lasak dalam lakonan

Beto kena slip disc, kena kurangkan aksi lasak dalam lakonan

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Beto Kusyairy akur terpaksa mengurangkan lakonan aksi lasak disebabkan masalah ‘slip disc’.

Beto atau nama sebenarnya NurKusyairy Zakuan Osman berkata, ada kecederaan lama pada tubuhnya yang sebelum ini dia tidak pedulikan.

“Umur saya sudah 44 tahun. Apabila sudah mencecah angka empat semua perkara menjadi perlahan. Nak buat badan jadi perlahan, apatah lagi pergerakan sudah tidak sama seperti zaman muda dulu.

“Banyak kecederaan lama yang saya tak pernah layan, sekarang datang semula. Pinggang mula sakit dan hari itu periksa rupa-rupanya ada dua tempat ‘slip disc’. Selama ini saya tak layan sakit itu.

“Hati mahu buat macam-macam aksi, tetapi kemampuan fizikal tidak membenarkan. Sudah terbatas sedikit. Saya terfikir juga mahu perlahankan watak-watak yang terlalu aksi,” katanya ditemui di lokasi penggambaran filem Gayong.

Walaupun masih dituntut untuk melakukan babak aksi dalam filem itu, Beto bersyukur tugasannya tidak sukar dan gerakan yang diberikan masih mampu dilakukan.

“Saya bersyukur dalam filem Gayong, saya diberikan koreografi yang sangat bagus dan mampu dibuat. Saya juga dijaga dan dikawal dengan baik dari segi keselamatan.

“Dari hari pertama penggambaran hingga hari terakhir filem ini, saya bersyukur tidak mengalami kecederaan serius. Lebam dan luka sikit itu biasalah,” katanya.

Selain itu, Beto merasakan satu penghormatan untuknya apabila diberi tanggungjawab membawa watak Allahyarham Datuk Meor Rahman yang juga pengasas seni Silat Gayong dalam filem itu.

Pada masa sama, dia juga bimbang dengan penerimaan masyarakat terutama ahli keluarga Allahyarham.

“Antara cabaran yang saya hadapi adalah dari sudut jangkaan masyarakat terutama keluarga arwah Datuk Meor dan juga peminatnya serta anak-anak silat gayong.

“Saya sebenarnya berat hati untuk terima tawaran ini pada mulanya kerana risau dengan penerimaan masyarakat. Saya sendiri adalah anak gayong, belajar silat gayong bermula darjah satu sampai habis sekolah menengah. Masuk universiti mula perlahan.

“Namun, saya terima tawaran selepas berjumpa dengan pihak penerbit dan diterangkan jalan cerita, akhirnya saya terima. Filem ini mengenai awal penubuhan silat gayong, bila dengar saya mula reda sikit,” katanya.

Selain Beto, filem arahan Faisal Ishak itu turut diterajui Nabila Huda dan Syafie Naswip selaku pelakon utama.

Gayong bakal ditayangkan pada Mei tahun depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top