Beto Kusyairy ingatkan anak seni jangan terpesona ‘fame syndrome’

Beto Kusyairy ingatkan anak seni jangan terpesona ‘fame syndrome’

PETALING JAYA: Pelakon, Beto Kusyairy, berpesan kepada rakan seperjuangan dalam industri seni agar tidak terpedaya dengan ‘fame syndrome’ atau sindrom populariti.

Pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-33 itu berkata, terlalu memberi fokus kepada populariti merupakan satu perangkap yang akan mengaburi tujuan sebenar kerja seorang anak seni.

“Fame syndrome. Berhati-hati, jangan terjebak dengannya. Ia hanyalah sebuah ilusi.

“Beri fokus kepada hasil kerja itu sendiri dan biarlah kerja itu yang berbicara bagi pihak anda,” katanya menerusi hantaran di aplikasi Threads.

Tambah pelakon Imaginur itu lagi, niat yang baik akan membuatkan naskhah yang dikerjakan seseorang pelakon itu diterima penonton.

Beto turut memetik pesanan Allahyarhamah Yasmin Ahmad, iaitu pengarah tersohor Malaysia yang telah meninggal dunia pada Julai 2009 agar menekankan cara bekerja sebenar sebagai pelakon.

“Bak kata arwah Yasmin, buatlah kerja bukan kerana mahukan anugerah.

“Lakukanlah dengan penuh kejujuran,” tambahnya lagi yang menegaskan pesanan itu tidak ditujukan kepada sesiapa.

Ramai yang bersetuju dengan perkongsian Beto tersebut, malah rakan pelakon turut berterima kasih atas pesanan tersebut.

“Terima kasih atas peringatan ini, kita jaga kita,” tulis pengarah, Ariff Zulkarnain.

“Betul, seni akan hilang kalau kita kejar perkara sementara,” tulis Che Puan Sarimah Ibrahim.

“Populariti hanya sementara,” tulis seorang pengguna. – UTUSAN

Scroll to Top