Betul ke jual jeruk mangga boleh beli jet peribadi? Aliff nak kongsi Jumaat ini

Betul ke jual jeruk mangga boleh beli jet peribadi? Aliff nak kongsi Jumaat ini

georgie@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, 38, hanya akan berkongsi mengenai kebenaran cerita dia berjaya membeli sebuah jet peribadi hasil jualan jeruk mangga yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit, Jumaat ini.

Aliff berkata, dia tidak mahu lagi berkongsi dengan umum mengenai perkara itu kerana ia membabitkan banyak pihak selain enggan riak dan mahu kelancaran projek terbabit.

“Sekarang ini saya tak mahu cerita lebih lanjut, doakan yang baik-baik saja. Sebenarnya kalau nak beritahu nanti orang kata riak. Kalau pasal jet peribadi itu Jumaat nanti saya akan umumkan.

“Kenapa Jumaat? Ini sebab perkara ini membabitkan ramai orang kerana nilainya (jet peribadi) jutaan ringgit. Jadi, kita tunggu hari Jumaat, saya harap rakyat Malaysia doakan yang terbaik.

“Bila lihat orang ada sesuatu, takut ada penyakit ain. Sekarang saya tak mahu keluarkan apa-apa kenyataan lagi,” katanya pada sesi minum petang bersama media di kediamannya di Kota Damansara, di sini, hari ini.

Aliff tidak menafikan dia memang sudah lama mengimpikan untuk memiliki jet peribadi. Tujuannya kongsi mengenai hal itu adalah bercerita sebahagian daripada kisah hidupnya saja .

“Memiliki jet peribadi ini memang impian saya dari dulu, setiap orang juga ada impian. Bila cerita mengenai jet peribadi ini viral saya tak sangka sebab saya hanya berkongsi mengenai kisah hidup.

“Tapi untuk tahu lebih lanjut, perlu tunggu hari Jumaat sebab itu adalah hari penentu. Bila bekerja dengan ramai orang dan ia bukan sesuatu yang murah. Ini adalah perniagaan dan perkara besar,” katanya.

Aliff juga sebenarnya tidak sangka perniagaan jeruk mangga harumanis yang diusahakannya itu melangkaui jangkaan ditetapkan.

Dia juga pelik apabila tetap dipandang rendah kerana perniagaan itu.

“Sejujurnya saya tak ada pun niat nak tunjuk hasil jualan itu saya dapat beli jet peribadi. Saya teruja kerana macam mana jualan jeruk itu boleh dapat jutaan ringgit.

“Bukan senang kerana saya hanya berniaga secara dalam talian dan orang memandang rendah kerana jualan begini orang kampung saja. Walaupun ia sekadar jeruk, tapi ini sungguh bermakna,” katanya.

Baru-baru ini, Aliff menjadi sorotan netizen apabila dilihat berjaya memiliki jet peribadi yang dikatakan hasil jualan jeruk mangga bersama anak sulungnya, Ammar Ahyan.

Menerusi video dimuat naik dalam Instagram, Aliff berkongsi keterujaan bersama isteri dan anaknya menaiki jet peribadi berwarna hitam itu.

Dalam pada itu, Aliff juga dalam misi mencipta pencapaian The Malaysia Book of Records sebagai Kutipan Jualan Beg Tangan RM1 Juta Terpantas Melalui Penstriman Langsung pada 3 Ogos depan jam 8 malam di platform TikTok, @papalarisofficial.

Aliff berkata, dia akan memperkenalkan koleksi baharu beg tangan, Samma Bag Denim Edition yang dipertaruhkan pada malam itu bagi mencapai hasrat mencipta rekod Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top