Beza hukuman dan ujian

Beza hukuman dan ujian

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bukan semua musibah dihadapi seseorang itu hukuman atau bala kerana ia kemungkinan ujian tanda kasih sayang Allah SWT.

Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, makna sebenar ujian dan perbandingannya dengan hukuman atau bala mengikut ajaran Islam mungkin disalah erti segelintir individu.

“Setiap penyakit Allah SWT beri sebab nak tengok kesabaran kita, namun kita kena bezakan antara hukuman juga ujian.

“Ada dua perkara, pertama Allah SWT uji sebab nak tengok sejauh mana kita sabar hadapi kesusahan dan kesukaran sama ada menyalahkan Allah SWT atau sebaliknya.

“Allah SWT nak ingatkan dengan kesakitan agar kita tidak lalai kepada Allah SWT,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mohd Izhar, dalam al-Quran surah al-Bawarah ayat 155 dengan jelas disebut bahawa Allah SWT akan menguji hamba-Nya dengan sedikit kesusahan dan kesukaran untuk melihat sejauh mana hambaNya dapat menghadapinya.

“Jadi untunglah orang orang yang sabar dengan ujian Allah SWT. Manakala hukuman pula adalah satu bala Allah SWT turunkan kepada mereka yang melakukan maksiat dan perkara ditegah seperti amalan kaum Luth.

“Kaum itu dimusnahkan atas keingkaran mereka terhadap hubungan sejenis dan liwat, maka kaum itu Allah SWT turunkan bala.

“Sama juga dengan kisah Firaun yang diturunkan bala dengan kematian hingga lautan dipenuhi darah manusia. Begitu juga kaum Qarun yang dilaknat dengan penuh hina kerana kesombongan atas kekayaan,” katanya.

Mohd Izhar berkata, umat Islam bagaimana pun ditegah menghukum atau melabel dengan sesuka hati terhadap individu yang jatuh sakit ditimpa bala.

“Selain daripada golongan yang Allah SWT dan Rasul laknat, maka tak boleh sewenang-wenangnya kita hukum orang itu kena bala disebabkan terkena penyakit tiada ubat.

“Tak boleh begitu sedangkan ia ujian dan kita pun tak tahu puncanya kerana Allah SWT yang Maha Mengetahui,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top