Bezza Day 4.0 himpun lebih 3,000 kenderaan

Bezza Day 4.0 himpun lebih 3,000 kenderaan

SERDANG: Ribuan pemilik dan peminat kerata tempatan, Perodua Bezza dari seluruh negara membanjiri tapak parkir 1A MAEPS di sini dalam suasana penuh semangat apabila Bezza Day 2026 edisi 4.0 terus mencatat lonjakan penyertaan sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara perhimpunan komuniti automotif jenis sedan terbesar di Malaysia.

Acara yang memasuki tahun keempat penganjurannya itu bukan sekadar perhimpunan kenderaan, sebaliknya menjadi simbol kekuatan solidariti komuniti yang berkongsi minat sama terhadap model popular berkenaan.

Dari utara hingga selatan, pantai timur serta Sabah dan Sarawak, kehadiran ribuan kenderaan jelas menggambarkan pengaruh Perodua Bezza dalam membentuk budaya komuniti yang semakin tersusun dan matang.

Pengarah Program, Muhammad Syamim Zulkifli berkata, peningkatan daripada kira-kira 1,000 penyertaan pada edisi pertama kepada lebih 2,000 sebelum ini dan melonjak melebihi 3,000 kenderaan tahun ini membuktikan sokongan luar biasa pemilik.

“Kami melihat trend yang sangat positif. Setiap edisi menunjukkan peningkatan jumlah kenderaan dan pengunjung, sekali gus membuktikan bahawa Bezza Day semakin diterima sebagai acara komuniti automotif yang penting.

“Kami mahu membawa Bezza Day ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja dari segi skala, tetapi juga dari segi kualiti penganjuran dan pengalaman pengunjung,” kata Syamim.

Bezza Day 4.0 himpun lebih 3,000 kenderaan
Muhammad Syamim (tiga dari kanan) dan Shah Affendi (tiga dari kiri) bersama warga kerja Bezza Day 2026.

Pemilihan MAEPS Serdang sebagai lokasi baharu menggantikan Stadium Shah Alam dan Stadium Bukit Jalil turut dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan keselesaan lebih 7,000 pengunjung yang hadir memeriahkan acara.

Turut hadir Pengarah Program Bersama, Shah Affendi Saripuddin yang menegaskan matlamat utama acara berkenaan adalah memperkukuh jalinan komuniti.

“Bezza Day bukan sekadar acara pameran kereta, tetapi satu medium untuk menyatukan komuniti, berkongsi idea, pengalaman dan inspirasi dalam kalangan pemilik Bezza.

“Kami juga optimis bahawa Bezza Day akan terus berkembang sebagai acara komuniti automotif yang berpengaruh, seiring dengan peningkatan minat terhadap budaya modifikasi dan aktiviti komuniti kereta di Malaysia,” kata Shah.

Sokongan penaja industri seperti OMG Car Accesories dan Mr Absorber yang menyediakan pelbagai produk serta hadiah cabutan bertuah turut menyemarakkan suasana dan menambah nilai kepada penganjuran kali ini. – UTUSAN

Scroll to Top