Spielberg, Austria: Marco Bezzecchi muncul pelumba terpantas selepas mendominasi sesi kelayakan yang penuh drama di Litar Red Bull Ring, sekali gus meraih petak utama bagi perlumbaan pecut dan aksi utama MotoGP Austria, semalam.
Pelumba Aprilia itu bakal memulakan saingan di petak hadapan bersama Alex Marquez (Ducati-Gresini) dan rakan senegara dari Itali, Francesco Bagnaia (Ducati) yang bermula di kedudukan ketiga.
Pendahulu kejuaraan dunia, Marc Marquez yang tergelincir keluar trek ketika sesi kelayakan, hanya mampu menempah petak keempat.
Bezzecchi yang menamatkan perlumbaan terakhir di Brno sebelum rehat musim panas di tempat kedua, terlebih dahulu perlu melalui pusingan kelayakan Q1 sebelum mara ke Q2 yang menampilkan 12 pelumba terpantas.
Catatan masa terbaiknya 1 minit 28.060 saat sudah cukup untuk memastikan kelebihan 0.016 saat mengatasi Alex Marquez, yang bakal berdepan penalti long-lap dalam perlumbaan utama esok selepas insiden pelanggaran dengan Joan Mir (Honda) di MotoGP Czech sebelum ini.
“Ia sentiasa mengejutkan apabila anda datang dari Q1 ke Q2 kerana semua pelumba sangat pantas. Dapat meraih petak utama memang luar biasa kerana semalam kami berdepan beberapa masalah.
“Dari segi rentak, ia akan sukar kerana saya tidak sepantas mereka, malah jentera KTM cukup bagus di sini. Saya akan cuba buat permulaan yang baik dan selepas itu berikan segalanya,” tambahnya.
Marc Marquez pula memasuki pusingan ke-13 daripada 22 perlumbaan musim ini dengan kelebihan besar, 120 mata mendahului pelumba lain yang diketuai adiknya, Alex.
© New Straits Times Press (M) Bhd