Kuala Lumpur: Jenama Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST) kekal menjadi media pilihan ramai apabila mengungguli Anugerah Putra Aria Brands 2025 bagi kategori Rangkaian Media.
Kedua-dua jenama terbitan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) itu yang juga anak syarikat kumpulan media bersepadu terbesar Malaysia, Media Prima Berhad (MPB), masing-masing diumum sebagai pemenang Anugerah Perak.
Kemenangan itu turut mengukuhkan kedudukan BH sebagai jenama berita arus perdana yang konsisten melaporkan berita berintegriti, berfakta dan bertanggungjawab, sekali gus mengekalkan kepercayaan pembaca pelbagai lapisan masyarakat sejak sekian lama.
Hadir menerima anugerah bagi pihak BH adalah Pengarang Berita Kanan BH, Datuk Sariha Mohd Ali, manakala NST diwakiliPengarang Bersekutu (Kandungan dan Digital) NST, Ahmad Najmuddin Ahmad Najib.
Sariha berkata, kemenangan itu adalah satu pengiktirafan yang amat bermakna buat seluruh warga BH.
“Ia mencerminkan kepercayaan berterusan pembaca dan masyarakat terhadap peranan kami sebagai wadah berita yang berwibawa, berintegriti dan dekat dengan denyut nadi rakyat.
“Di era perubahan landskap media yang pantas, BH kekal komited untuk menyampaikan laporan yang tepat, seimbang dan bertanggungjawab, sama ada melalui platform cetak mahupun digital.
“Anugerah ini menjadi pemangkin untuk kami terus berinovasi, memperkukuh kewartawanan berkualiti dan memastikan suara rakyat terus diangkat secara adil dan berfakta.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pembaca, rakan industri serta seluruh pasukan BH yang bekerja tanpa jemu demi mempertahankan kredibiliti dan kepercayaan jenama ini,” katanya ketika ditemui, di sinu, malam ini.
Sementara itu, TV3 diumumkan sebagai pemenang Anugerah Emas dalam kategori sama.
Anugerah Putra Aria Brands diperkenalkan buat pertama kali pada 2023.
Ia inisiatif Persatuan Ejen-Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) untuk mengiktiraf jenama yang paling dekat di hati rakyat Malaysia dengan penilaian berdasarkan pilihan pengguna.
Anugerah pada Putra Aria Brands dikenal pasti mengikut pilihan pengguna dan acara itu mendapat pengesahan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Ia satu-satunya anugerah daripada pilihan orang ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




