Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera negara haram yang memintas flotila kemanusiaan ke Gaza serta menahan lebih 100 aktivis termasuk 16 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi aman membantu rakyat Palestin.
Menerusi kenyataan di Facebook, beliau menyifatkan tindakan itu bukan sahaja mencabul hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, bahkan menunjukkan kerakusan rejim Zionis dalam menyekat bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Menurut Anwar, tindakan berkenaan turut membuktikan bagaimana pihak terbabit cuba menutup ruang bantuan serta menindas mana-mana pihak yang bangkit mempertahankan rakyat Palestin.
“Rejim biadab Zionis Israel telah bertindak memintas flotila kemanusiaan Gaza dan telah pun menahan lebih 100 orang aktivis termasuk 16 aktivis dari Malaysia yang terlibat dalam misi aman membela kemanusiaan sejagat.
“Tindakan kurang ajar rejim jahat ini terhadap misi bantuan kemanusiaan ini bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah memperlihatkan kerakusan rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan, menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa sahaja yang bangkit mempertahan dan membela rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera semua aktivis yang ditahan dalam insiden berkenaan.
Tegas beliau, masyarakat antarabangsa tidak boleh terus tunduk terhadap penindasan yang berlaku ke atas rakyat Palestin serta individu yang membawa bantuan kemanusiaan.
“Dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan. Penindasan ke atas warga Palestin dan kepada mereka yang menggerak serta membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera, dan Israel mesti berdepan keadilan dan pertanggungjawaban!” katanya.
Sumber: FB Anwar Ibrahim




