asyikin.mat@hmetro.com.my
KEPAKARANNYA membiak dan mengacukkan kucing ‘kayangan’ menyebabkan beliau digelar doktor haiwan dalam kalangan rakan.
Setakat ini, Mohd Hirfisham Zamdim, 34, sudah membiak dan mengacukkan lebih 600 kucing baka mahal pelbagai jenis.
Antaranya British Shot Hair, British Short Hair Muchkin, American Curl Muchkin, Dwelf, Scotish Fold Muchkin, American Curl, dan Sphynx.
Pencetusnya kerana beliau adalah seorang pencinta kucing dan mula berjinak-jinak dengan dunia membiak serta mengacukkan haiwan kesayangan itu sejak 2018.
“Peringkat awal saya membiakkan kucing biasa daripada baka Domestic Long Hair dan berjaya menghasilkan lima kucing.
“Setiap kucing dijual dengan RM500 dan hasil jualan ini dijadikan modal sebagai membeli baka kucing berkualiti iaitu British Short Hair.
“Bermula dari itu, saya mendapat modal pusingan membeli baka kucing kayangan lain yang lebih baik untuk tujuaan berkenaan.
“Pemilihan baka yang baik untuk proses berkenaan (membiak dan mengacukkan) adalah penting kerana akan menghasilkan kucing yang sangat comel serta unik.
“Bagaimanapun tidak semuanya berjaya kerana konsep yang digunakan untuk proses ini adalah ‘cuba dan jaya,” katanya.
Mohd Hirfisham berkata, untuk melakukan proses itu perlu mempunyai ilmu dan beliau ‘menuntut’ ilmu berkenaan daripada rakan yang lebih berpengalaman membiak serta mengacukkan kucing.
“Untuk proses ini mengambil masa agak lama kerana perlu teliti dari segi pemilihan baka induk, warna kucing dan aspek lain. Ini supaya si bulus yang dilahirkan memenuhi kualiti diinginkan.
“Sekiranya tidak menepati piawaian ini, harga kucing menjadi murah,” katanya.
Katanya, kucing kacuk yang berjaya dihasilkan itu dijual antara RM2,000 hingga RM4,000.
Pada masa sama, Mohd Hirfisham sangat menitik beratkan kualiti dan mendapatkan baka induk dari negara jiran.
“Selain harganya rendah, baka induk dari negara terbabit memiliki keistimewaan tersendiri kerana berbeza dengan baka induk di Malaysia.
“Kelebihan ini memudahkan untuk saya menghasilkan kucing yang lebih comel dan keunikan lebih menonjol,” katanya.
Menurutnya, kepuasan yang diperoleh dari aktiviti dilakukannya itu ialah apabila dapat menghasilkan kucing yang sihat dan comel.
“Satu lagi ialah berjumpa dengan pelanggan dan rakan pencinta kucing yang mana mereka sanggup berbelanja besar semata-mata untuk membeli si bulus.
“Bagi bukan peminat kucing, mungkin mereka tidak faham kesanggupan pencinta kucing membuat pelaburan besar untuk haiwan kesayangannya.
“Namun, kalangan pencinta kucing menganggap si bulus adalah ahli keluarga mereka dan sanggup melakukan apa saja demi memastikan ia hidup dalam keadaan baik,” katanya.
Selain itu katanya, dia mempunyai hubungan yang rapat dengan ramai doktor veterinar dan mereka sering saling berkongsi ilmu.
“Ini memberi kelebihan dan berkebolehan memberi rawatan ringan kepada kucing yang datang ke kedai kucing milik saya.
“Namun, kucing itu perlu terlebih dahulu dihantar ke klinik veterinar untuk memastikan ia bebas daripada penyakit berjangkit seperti parvo, sporro atau selesema.
“Ini kerana penyakit berkenaan boleh menjangkiti kucing lain di kedai dan boleh mengakibatkan kematian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




