Biar gol lewat, yang penting Liverpool menang

Biar gol lewat, yang penting Liverpool menang

Anfield akan menjadi pentas bagi pertembungan Derby Merseyside ke-247 antara juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dan seteru mereka, Everton pada malam ini.

Seperti biasa, kebanggaan dan maruah menjadi taruhan dengan dua pasukan ini kali terakhir bertemu pada April menyaksikan jaringan lewat Diogo Jota memastikan kemenangan tipis 1-0 untuk The Reds di Anfield.

Liverpool kini terkenal dengan tabiat menjaringkan gol lewat perlawanan untuk meraih kemenangan dan terbaru 3-2 ke atas Atletico Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara kelmarin menandakan kali kelima berturut-turut musim ini mereka menjaringkan gol kemenangan pada atau selepas minit ke-83.

Secara keseluruhan, 29% daripada semua gol minit ke-90 ke atas yang dijaringkan oleh pasukan EPL musim ini datang daripada Liverpool (4 daripada 14 gol), termasuk penalti minit ke-95 oleh Mohamed Salah ketika menang tipis 1-0 ke atas Burnley hujung minggu lalu.

Tiga daripada empat kemenangan EPL mereka musim ini ditentukan oleh jaringan pada masa kecederaan.

Slot memuji mentaliti pemainnya, namun turut mengakui pasukannya perlu memudahkan kerja sendiri.

Walaupun ramai berasakan ‘drama lewat’ seperti ini tidak boleh dijadikan kebiasaan jangka panjang, penyokong Liverpool pastinya tidak akan mengeluh sekiranya ia sekali lagi membawa kejayaan ke atas Everton.

Liverpool kini mendahului EPL dengan 12 mata penuh, satu-satunya pasukan yang mengekalkan rekod 100% dan akan cuba untuk memenangi lima perlawanan pertama liga musim ini buat kali ketiga dalam sejarah.

Mereka juga yakin mampu meraih keputusan positif malam ini, memandangkan hanya tewas sekali dalam 28 pertemuan terakhir menentang Everton di Anfield dalam semua pertandingan dan menang empat aksi terakhir berturut-turut sejak kekalahan 0-2 pada Februari 2021.

Menambah keyakinan Liverpool ialah mereka tidak berdepan sebarang masalah kecederaan menjelang pertembungan Merseyside, dengan Curtis Jones bersedia untuk kembali menyertai skuad selepas terlepas dua perlawanan lalu.

Slot sebelum ini tidak pernah memiliki skuad yang benar-benar lengkap musim ini, dengan sekurang-kurangnya seorang pemain terpaksa diketepikan akibat kecederaan untuk setiap perlawanan. Namun, keadaan itu dijangka berubah menjelang kunjungan Everton ke Anfield

Pengurus dari Belanda itu memberitahu media semalam bahawa Jones kembali bersama skuad selepas tersisih dua perlawanan terakhir akibat kecederaan ketika menentang Arsenal sebelum rehat antarabangsa tetapi laporan kesihatan positif bermaksud Slot kini mempunyai skuad yang cergas sepenuhnya untuk dipilih.

Pemain tengah itu baru sekali turun dalam kesebelasan utama musim ini, dan kini berharap dapat memperoleh beberapa minit permainan daripada bangku simpanan sebelum berpeluang kembali ke kesebelasan utama menentang Southampton dalam saingan Piala Carabao pada awal pagi Rabu depan.

Di kem Everton, skuad kendalian David Moyes menunjukkan tindak balas baik selepas kekalahan pada minggu pembukaan di Leeds United. Mereka mengutip tujuh mata daripada tiga perlawanan liga terakhir, dan juga layak ke pusingan ketiga Piala EFL.

Walaupun Moyes memuji kekuatan pertahanan pasukannya dengan empat aksi tanpa bolos daripada lima perlawanan kompetitif musim ini, beliau kecewa dengan kekurangan sentuhan penyudah ketika seri 0-0 menentang Villa, selepas hanya dua daripada 20 percubaan berjaya mengenai sasaran, walaupun mereka menguasai perlawanan di laman sendiri.

Kini tumpuan Everton terarah kepada memperbaiki rekod buruk mereka dalam Derby Merseyside, di mana mereka hanya menang dua kali dalam 29 pertemuan EPL terakhir menentang Liverpool (14 seri, 13 kalah), dan gagal menjaringkan gol dalam lima daripada tujuh pertemuan terakhir.

Moyes pula masih belum pernah menang dalam mana-mana perlawanan EPL di Anfield, dengan rekod seri enam kali dan tewas 14 daripada 20 percubaan.

Namun, pengendali dari Scotland itu tetap mempunyai sebab untuk bersikap optimis kerana Everton menang enam daripada 11 perlawanan liga di tempat lawan yang terakhir sekali gus menyamai jumlah kemenangan mereka dalam 30 perlawanan sebelumnya (6 menang, 10 seri, 14 kalah).

Kesemua enam kemenangan itu dicatatkan pada 2025, dan kali terakhir mereka menang tujuh kali di tempat lawan dalam satu tahun adalah pada 2021, termasuk kemenangan 2-0 di Anfield.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top