'Biar mereka bangkit sendiri'

'Biar mereka bangkit sendiri'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

HAMPIR 30 tahun bergelar pelakon sejak 1998, Fauzi Nawawi kini antara pelakon ‘otai’ berpengalaman tanah air yang sangat dihormati bakatnya dalam pelbagai watak dibawa.

Jadi watak baik boleh, berlakon aksi pun mantap, termasuk sebagai antagonis juga tidak menghampakan. Begitu juga, karakter lelaki mata keranjang.

Seiring pengalaman dikumpulnya selama ini, yang pasti Fauzi, 52, masih lagi laris mendapat tawaran berlakon drama dan filem sekali gus terus mengukuhkan bakatnya selaku pemain lama.

Turut memiliki dua cahaya mata yang mengikut jejak langkahnya dalam industri hiburan ketika ini, Fauzi tekad akan terus memberi sokongan padu kepada Fareez Hazwan, 28, dan adiknya, Hana Farisya, 26.

Mengulas kepayahan Fareez yang masih lagi ‘kurang menjadi’ bakatnya, bapa kepada lapan anak ini memaklumkan dia sedar perjalanan seni anak lelakinya itu agak berliku walaupun sudah aktif selama sembilan tahun.

“Anak saya ada dua orang yang ada dalam industri ini. Salah seorangnya Fareez yang jadi juara Mentor Milenia pada 2016. Dia (Fareez) juara dah lama, tapi sampai sekarang masih lagi mencari-cari tempat dalam industri.

“Seorang lagi, Hana Farisya bermula dengan model dan sekarang dah mula berjinak-jinak berlakon. Jadi, saya nampak mereka ini rezekinya masih belum menyerlah lagi. Masa untuk mereka menyerlah itu belum tiba.

“Mungkin usaha mereka belum cukup. Sebab saya sendiri pun di dalam industri seni ini, ambil masa kira-kira 12 tahun baru disedari kemunculan saya sebagai orang baharu,” katanya ditemui selepas majlis tayangan episod akhir drama Lambaian Huda, baru-baru ini.

Menurut suami pelakon Lisdawati, 47, ini, dia bagaimanapun melihat optimis kerjaya anak-anaknya dalam industri seni yang masih perlu bekerja keras dan teruskan berjuang sehingga sampai masanya untuk ‘bersinar’.

“Jadi, kalau setakat baru beberapa tahun dalam industri ini dan orang masih tidak menyedari serta tidak nampak kemunculan mereka, bagi saya itu perkara biasa. Memang normal.

“Namun, sebagai bapa saya tidak akan turun tangan untuk membantu. Cuma, kalau ada peluang saya terus dedahkan mereka, itu sahaja. Tapi, untuk saya menarik mereka sama-sama naik, saya memang tak galakkan guna nama saya.

“Terus-terang, saya lebih suka mereka muncul dengan kebolehan dan nama sendiri. Walaupun dibayangi saya, tetapi saya lebih suka mereka muncul dengan kebolehan sendiri,” katanya.

Ujar Fauzi lagi, setakat ini dia kagum dengan anak-anaknya kerana tidak pernah menggunakan namanya untuk mereka berusaha mendapatkan ruang serta peluang bagi mengetengahkan bakat seni masing-masing.

Selain Fareez dan Hana Farisya, dua lagi anak Fauzi hasil daripada perkahwinan pertamanya dengan bekas isteri dahulu ialah Nurul Hainil Fatihah dan Mohd Fikri Hakimi.

Manakala, Fauzi yang berkahwin buat kali kedua dengan Lisdawati pada 9 September 2007, mereka juga dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, Nur Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh.

Lali hadapi kecaman netizen

Melewati usia 50-an dan masih bersikap terbuka menerima watak ‘nakal’ untuk dilakonkan, Fauzi mengakui dia hanya bekerja dan perlu melaksanakan kehendak sesuatu karakter itu.

Ujarnya, sebagaimana watak Datuk Farid yang dibawakan dalam drama Lambaian Huda di saluran Viu Malaysia baru-baru ini yang sememangnya ada penonton kurang berkenan.

“Tapi, itulah antara impak yang perlu saya terima apabila watak dilakonkan berjaya membuat penonton marah, geram dan sakit hati kepada Datuk Farid yang toksid dalam hubungan dengan ‘kekasih gelapnya’, Suzie.

“Malah, apabila ada segelintir netizen mengecam saya di media sosial kerana watak itu, tak apalah. Sebab itu bermakna emosi marah mereka tersentuh dan saya menerima apa sahaja yang dikecam dengan berlapang dada.

“Ini kerana, saya juga sudah lali menghadapi kecaman-kecaman netizen di media sosial. Pada saya, kecaman ini sudah lumrah untuk diterima golongan selebriti yang dikenali,” jelasnya.

Menurut Fauzi lagi, dia yang sudah 19 tahun hidup bersama Lisdawati tetap saja menjadi perhatian berhubung rumah tangga mereka apabila didakwa dengan pelbagai spekulasi tidak betul dan berbaur fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Tetapi, saya dan isteri, Lisdawati jenis tidak suka melayan dan kami biarkan sahaja. Sebabnya, benda pun tidak betul dan buang masa kalau dilayan pun. Daripada boleh buat diri tiba-tiba jadi ‘stress’, lebih baik abaikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top