nurul_husna@hmetro.com.my
Shah Alam: Superlux Auto terus komited menjadikan motosikal elektrik mampu dimiliki semua golongan menerusi model, Superlux EB1.
Ketua Pegawai Eksekutif Superlux, Fahmi Barakbah Mohamed Salleh berkata, pihaknya optimis mensasarkan jualan sebanyak 3,000 unit sehingga penghujung tahun 2025.
“Permintaan terhadap motosikal elektrik semakin meningkat terutama apabila kerajaan melanjutkan insentif MARii Cas iaitu subsidi sebanyak RM2,400 untuk pembeli jentera kenderaan elektrik (EV) sehingga tahun 2025.
“Secara tidak langsung, ini menggalakkan pembeli terutama dalam kalangan golongan mampu milik untuk membeli EB1 pada harga serendah RM2,988 sahaja.
“Selain itu disokong dengan kesedaran awam mengenai kepentingan penggunaan motosikal itu dapat memberi impak baik kepada alam sekitar mewujudkan sentimen positif terhadap pembelian motosikal elektrik,” katanya.
Menurutnya, motosikal elektrik terbabit juga adalah hasil inovasi anak tempatan yang boleh dibanggakan apabila memenuhi standard diperakui dunia.
“Syarikat kami memastikan aspek keselamatan dipenuhi terutama apabila teknologi ini antara terbaharu buat rakyat Malaysia.
“Spesifikasi memenuhi standard UNR136 dipakai 58 negara serata dunia ditetapkan untuk kenderaan.
“Superlux EB1 direka untuk penunggang tempatan yang mana kegunaan sesuai di bandar (mikrobiliti) dan di pedalaman untuk kegunaan harian,” katanya.
Menurutnya, pihaknya yakin spesifikasi motosikal EB1 itu boleh menarik peminat atau pemilik motosikal tempatan.
“Walaupun untuk menyaingi motosikal pembakaran dalaman (ICE) masih jauh, kami antara pelopor industri permotoran elektrik tempatan.
“Ciri unik dalam inovasi termasuk bateri motosikal yang boleh dibuka dan dipasang semula bersama penggunaan plug tiga pin menjadikan ia mudah bagi pemilik motosikal terbabit,” katanya.
Bateri litium digunakan motosikal mesra alam itu juga berkapasiti 48V24Ah berkuasa 800 watt yang mampu bertahan sejauh 100 kilometer (km), manakala pecutan maksimum 55 kilometer sejam (km/j).
Spesifikasi lain motosikal itu ialah ia menggunakan transmisi automatik dengan tiga kelajuan, dengan suspensi penyerap hentak Steel Spring Shock.
Syarikat motosikal elektrik tempatan itu turut mengukuhkan pasaran motosikal itu apabila mula memasuki pasaran Sabah dan Sarawak pada bulan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd