‘Biar parti lawan parti, jangan ubah demokrasi Malaysia’ – Mohamad Sabu 

‘Biar parti lawan parti, jangan ubah demokrasi Malaysia’ – Mohamad Sabu 

TANGKAK – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak agar tidak mengubah amalan demokrasi negara semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik atau individu tertentu.

Beliau berkata, sistem demokrasi negara perlu terus dipertahankan dengan memberi ruang kepada parti-parti politik bersaing secara sihat sama ada untuk membentuk kerajaan atau memainkan peranan sebagai pembangkang.

“Sama ada kita menang atau mereka kalah, itu bukan persoalannya. Yang penting pertandingan mesti berlaku antara parti dengan parti.

“Jangan ubah cara demokrasi negara. Biarlah parti-parti politik bergelut untuk memerintah atau menjadi pembangkang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir di sini pada malam Isnin. 

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan setiap parti komponen perlu menerima keputusan rundingan dan bekerja sebagai satu pasukan demi memastikan kemenangan gabungan.

Katanya, proses pembahagian kerusi bagi PRN Johor bukan sesuatu yang mudah, namun berjaya diselesaikan menerusi rundingan dan persefahaman antara parti-parti dalam PH.

Beliau turut mengingatkan bahawa calon daripada Amanah, PKR dan DAP perlu dibantu secara bersama tanpa mengira parti yang bertanding di sesuatu kawasan.

Scroll to Top