am@hmetro.com.my
Pontian: “Terserah kepada pucuk pimpinan parti, biar mereka tentukan sama ada terima atau tidak (permohonan kembali kepada UMNO).”
Itu kata Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan terkini susulan pendiriannya yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO itu menyerahkan surat rayuan untuk kembali menyertai UMNO.
Beliau tidak mahu mendahului keputusan dibuat kepimpinan tertinggi parti walaupun surat permohonan sudah dihantar pada 16 Mac lalu.
“Saya tidak pasti lagi 100 peratus permohonan diterima atau tidak. Saya menyerahkan sepenuhnya kepada UMNO untuk putuskan.” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan di Benut, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai spekulasi beliau dilaporkan bertanding di Johor, bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, keutamaannya ketika ini hanyalah untuk kembali sebagai ahli biasa.
“Saya minta jadi ahli biasa dulu, yang lain kemudian. Ini perjalanan pulang ke parti, tak perlu terburu-buru,” katanya.
Sementara itu, Khairy menjelaskan kehadirannya ke program rumah terbuka adalah jemputan pertama yang dihadirinya selepas membuat pengumuman untuk kembali aktif dalam UMNO.
“Sumali antara orang penting membawa saya pulang ke UMNO. Beliau menyusun perjumpaan saya dengan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) jadi saya amat berterima kasih kepadanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




