norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Indonesia, Titi Kamal, 44, menghormati keputusan suaminya, Christian Sugiono, 44, untuk tidak lagi berlakon bersama selepas mereka disatukan membintangi filem Tipu Kiri Tipu Kanan pada 2008.
Titi yang kini turut bergelar penerbit filem berkata, ia adalah permintaan daripada Christian sendiri yang lebih selesa mengizinkannya beraksi dengan pelakon lelaki lain dalam karya dilakonkan.
“Bukan saya tidak mahu berlakon dengan suami, tetapi Tian (panggilan Christian) yang menolak (tidak mahu). Katanya, biar kami sebagai suami isteri di realiti sahaja dan untuk lakonan saya berganding dengan pelakon lain.
“Bagaimanapun, kami sudah pernah berlakon bersama dalam filem Tipu Kiri Tipu Kanan dulu yang penggambarannya juga dilakukan di Indonesia dan Malaysia ketika itu. Jadi, pengalaman berlakon itu ada,” katanya ditemui Harian Metro.
Terdahulu, Titi hadir pada majlis tayangan perdana filem Tabayyun arahan Key Mangunsong yang dibintanginya bersama Naysila Mirdad dan Ibrahim Risyad serta akan mula di pawagam di Malaysia, hari ini.
Menurut Titi lagi, pada waktu sekarang Christian juga sibuk dengan urusan perniagaan terutama merancang pembangunan resort milik mereka di Pulau Bali, Indonesia yang ketika ini dalam proses pembinaan.
Ditanya juga pembabitannya dalam sinetron, ibu dua cahaya mata ini berkata, dia sekarang lebih terarah membintangi filem sahaja kerana tidak perlu terikat dengan jadual penggambaran yang terlalu panjang di lokasi.
“Sebagai seorang isteri dan ibu, saya sekarang lebih selesa meluangkan banyak masa bersama anak-anak dan keluarga. Jadi, saya tidak lagi ambil tawaran berlakon sinetron dan cukup filem sahaja.
“Anak-anak saya, Arjuna Zayan Sugiono dan Kai Attar Sugiono juga dalam proses membesar serta sudah pasti mereka kini sangat memerlukan lebih perhatian daripada orang tuanya,” ujarnya.
Untuk rekod, Titi berkahwin dengan Christian selepas menjalin cinta selama beberapa tahun pada 6 Februari 2009 di Perth, Australia yang dihadiri cuma 22 orang, termasuk keluarga dan rakan terdekat sahaja.
Titi yang sudah 30 tahun menceburi karier lakonan, mula menempa nama di Malaysia menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) lakonannya bersama Nicholas Saputra, Dian Sastrowardoyo, Adinia Wirasti dan Sissy Priscillia pada 2002.
Dalam AADC, Titi melakonkan karakter Maura yang kemudian mengukuhkan lagi namanya di Malaysia dengan lakonan mantap dipersembahkan dalam filem Eiffel I’m in Love sebagai Intan pada 2003.
Menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya, Titi mengakui dia gembira selalu berkunjung ke negara ini termasuk dua tahun lalu hadir mempromosikan filem Air Mata di Ujung Sajadah sebagai Aqilla Hamka.
Ditanya juga makanan kegemarannya ketika datang ke Malaysia, Titi berkata dia tidak melepaskan peluang menikmati nasi lemak, roti canai, nasi kandar, teh tarik dan juga durian Musang King.
© New Straits Times Press (M) Bhd