Penyanyi, Aisha Retno mencuri perhatian apabila tampil membalas ciapan seorang individu yang memuji sikap segelintir wanita yang memilih untuk tidak membalas kejahatan walaupun dianiaya.
Menerusi perkongsian di platform Threads, individu berkenaan menyatakan rasa hormat terhadap wanita yang kekal tenang dan tidak membalas perbuatan buruk dengan tindakan sama.
“Saya hormat perempuan yang tak balas kejahatan dengan kejahatan. Ibarat ‘kill them with kindness’,” tulis individu itu.
Susulan itu, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, tampil berkongsi dia sendiri pernah melalui situasi sedemikian.
Menurut pelantun lagu Jodoh Lebaran itu, memilih untuk terus berbuat baik bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia memberi impak besar kepada diri sendiri.
“Saya pernah lalui perkara itu. Bila kita buat baik, lagi mereka tertanya-tanya kenapa kita tak balas dengan kejahatan.
“Sebaliknya, kita hanya perlu percaya pada perancangan Allah dan buktikan kita layak untuk hidup dengan memberi fokus kepada pencapaian kerjaya,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Aisha berkata dia percaya setiap fitnah dan tohmahan yang dilemparkan akan dibalas seadilnya oleh Allah.
“Biarlah mereka bercakap, biarlah mereka memfitnah. Biarlah mereka membuat andaian sendiri tentang diri kita, Allah kan ada.
“Biar Allah balas semuanya dengan sepatutnya,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji kematangan Aisha dalam menangani ujian serta kekuatan dirinya untuk terus positif meskipun berdepan kecaman.




