am@hmetro.com.my
Sipitang: Datuk kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, Hasim Tua, 83, menzahirkan harapan supaya proses penggalian semula kubur cucunya berjalan lancar dan memberi keadilan yang selayaknya kepada cucunya.
Menurutnya, meskipun Zara Qairina seorang yang pendiam, beliau tetap mengingati cucunya itu sebagai anak yang rajin mengaji namun tidak pernah tinggal untuk menunaikan solat.
Katanya, kali terakhir beliau bertemu Zara Qairina adalah pada sambutan ulang tahun kelahiran cucunya pada tahun lalu.
“Perjumpaan itu menjadi memori terakhir bersama arwah.
“Harapan saya, biarlah proses ini dipermudahkan dan segala bukti dapat membantu siasatan supaya arwah mendapat pengadilan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Ubi, Mesapol Lama, hari ini.
Terdahulu, proses penggalian semula kubur Zara Qairina bermula kira-kira jam 5.30 petang selepas kehadiran ibu bapa serta peguam keluarga.
Pasukan forensik PDRM dilihat memakai sut PPE putih.
Jenazah arwah kemudian dibawa ke Hospital Sipitang dipercayai bagi tujuan bedah siasat semula. Proses itu turut dikawal anggota polis trafik yang mengiringi kenderaan forensik.
Penggalian semula ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada arahan melengkapkan siasatan kes kematian Zara Qairina yang dikaitkan dengan dakwaan insiden buli di sebuah sekolah di Papar pada 16 Julai lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd