MELAKA – Tidak mahu membebankan bapa yang hanya berpendapatan RM500 sebulan mendorong seorang pelajar Politeknik Melaka bekerja sambilan sebagai penghantar makanan bagi menampung pengajiannya.
Ayahnya, Mat Nor Bidin, 56, sebelum ini bekerja sebagai pembuat minuman di warung, namun selepas kedai berkenaan ditutup, duda anak enam itu menyara kehidupan dengan menjadi sukarelawan membersihkan surau.
Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan), Muhammad Asymawi Mat Nor, 19, berkata, setiap hari selepas tamat kelas, dia akan meneruskan kerja sambilan sebagai penghantar makanan bagi menampung keperluan pengajiannya.
Menurutnya, walaupun yuran pengajian di politeknik tidak terlalu tinggi, dia tetap memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai persediaan sekiranya memerlukan wang untuk membeli keperluan pembelajaran atau menghadapi sebarang kecemasan.
Seorang lagi penerima BAeK ialah Alia Batrisyia Abu Samah dari Jalan Gambir yang kini melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (Kepujian) Matematik di UiTM Kampus Puncak Alam, Selangor.
Sesi penyerahan tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, diiringi Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Melaka, Mas Anisah Ayu Othman.
Muhammad Asymawi merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu mengakui sedih dengan keadaan kewangan keluarga namun tetap nekad menyambung pengajian demi masa depan yang lebih baik.
“Ikutkan memang mahu terus kerja tapi fikir untuk jangka masa panjang perlu ada sijil untuk dapatkan pekerjaan lebih baik.
“Atas semangat itu saya cekalkan diri untuk sambung belajar. Bidang yang saya pilih itu pula memang bertepatan dengan kehendak pasaran sekarang.
“Saya sangat bersyukur dapat sambung belajar dan kemudian ditawarkan biasiswa pula. Alhamdulillah masih ada orang yang nampak potensi saya untuk pergi lebih jauh.
“Wang biasiswa yang diterima ini akan digunakan untuk membayar yuran pengajian serta membeli keperluan pembelajaran, manakala baki selebihnya akan disimpan sebagai tabungan masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut menasihatkan rakan-rakan yang berdepan masalah kewangan supaya tidak menjadikan kekangan tersebut sebagai alasan untuk berhenti belajar.
BaeK PTPTN kurangkan bebanan ibu bapa

Abu Samah dan isteri, Nor Rizah mewakili anak, Alia Batrisyia menerima kunjungan timbalan menteri dan PTPTN bagi penyerahan BAeK PTPTN di rumahnya di Melaka.
Sementara itu, Alia Batrisyia yang diwakili bapanya, Abu Samah Ahmad, 60, dan ibunya, Nor Rizah Kindarthaw, 55, berkata, anaknya pernah menyuarakan hasrat untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat ijazah kerana bimbang menanggung bebanan hutang PTPTN selepas tamat belajar.
“Selepas habis diploma, dia pernah kata tidak mahu sambung belajar lagi sebab takut kena bayar pinjaman yang banyak.
“Saya beritahu dia, selagi ayah mampu, teruskan belajar dahulu. Bila sudah bekerja nanti, bayarlah secara berperingkat dan alhamdulillah Alia Batrisyia mengikut nasihat saya,” katanya.
Pengawal keselamatan itu berkata, pengorbanan membesarkan lima orang anak bukanlah mudah apabila terpaksa membuat dua kerja selain pernah meminjam wang daripada ahli keluarga demi memastikan anak-anak dapat meneruskan pendidikan.
“Saya memang tekankan pendidikan kepada anak-anak kerana saya tak mahu mereka melalui kesusahan yang sama. Pernah sampai terpaksa gadai barang kemas isteri dan pinjam duit daripada adik untuk tampung kos pengajian mereka.
“Apabila menperolehi biasiswa seperti ini, sekurang-kurangnya anak saya tidak perlu lagi memikirkan hutang pengajian selepas tamat belajar dan ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga,” katanya.
402 pelajar terima BAeK PTPTN setakat Mei
Sementara itu, seramai 402 pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar menerima manfaat Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini babit perbelanjaan RM8.79 juta setakat Mei lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, inisiatif itu telah membantu mengurangkan beban kewangan pelajar kurang berkemampuan, termasuk 11 penerima dari Melaka, bagi meneruskan pengajian.
Menurutnya, inisiatif PTPTN itu akan terus menjadi pemangkin kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Diharap lebih ramai pelajar daripada keluarga B40 dapat memanfaatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah awal mengubah taraf hidup menerusi pendidikan tinggi.
“Bantuan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan,” katanya ketika ditemui pada Sesi Penyerahan BAeK PTPTN kepada dua penerima di Melaka pada Isnin.
Katanya, BAeK PTPTN membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam memastikan latar belakang sosioekonomi tidak menjadi penghalang untuk melanjutkan pengajian.
Menerusi pelaksanaan BAeK PTPTN, pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih.
“Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan PTPTN akan terus giat menjalankan sesi penerangan serta hebahan bagi memastikan pelajar yang layak mendapat manfaat tersebut.
“Inisiatif galakan pendidikan ini sekali gus memberi dorongan kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan memulakan kerjaya tanpa dibebani hutang,” katanya.
Inisiatif pendidikan percuma PTPTN di bawah Belanjawan 2026 yang melibatkan pelajar sepenuh masa di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) itu telah bermula pada 1 Januari lalu.
Terdahulu dalam pembentangan Belanjawan 2026 diumumkan inisiatif biasiswa pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA dengan peruntukan RM120 juta setahun.
Menerusi pengumuman di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, jumlah penerima inisiatif biasiswa pendidikan percuma PTPTN ini pula telah ditingkatkan kepada 10,000 orang pelajar daripada keluarga miskin.



