Bicara warga Israel atas dakwaan miliki peluru, senjata api bermula 19 Mac

Bicara warga Israel atas dakwaan miliki peluru, senjata api bermula 19 Mac

surayaroslan@mediaprima.com.my

Kajang: Lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api akan dibicarakan di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang, di sini dan perbicaraan akan diteruskan dalam bahasa Inggeris.

Ia selepas peguam Jeffrey Ooi yang mewakili lelaki itu memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Zaki Mohd Salleh, pihaknya mendapat arahan daripada tertuduh untuk perbicaraan diteruskan selepas terdapat pertikaian daripada pihak pembelaan berhubung jurubahasa Ibrani (Hebrew) sebelum ini.

“Kami sudah berbincang dengan tertuduh, dia memaklumkan sekiranya tiada jurubahasa yang bertauliah dan boleh berkomunikasi dengannya, dia bersedia untuk perbicaraan dijalankan dalam bahasa Inggeris.

“Peguam yang mewakili tertuduh sebelum ini iaitu Datuk Naran Singh sudah menarik diri daripada mewakilinya dan sekarang ini mengenai permohonan (permintaan untuk jurubahasa Ibrani) tetapi kami tidak dapat arahan terkini (dari Naran),” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaki menetapkan semula tarikh perbicaraan selama 14 hari bermula Mac ini bagi mendengar kes itu yang akan dijalankan di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang.

“Bicara di sini, semua di sini (Mahkamah Kompleks Penjara Kajang),” katanya.

Tarikh yang ditetapkan bermula 19 hingga 21 Mac, 13 hingga 16 Mei, 3 hingga 5 Jun dan 23 hingga 26 Jun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam mempersoalkan tindakan pembelaan yang sebelum ini beberapa kali memohon penangguhan perbicaraan kerana ketiadaan jurubahasa Ibrani, namun pada hari ini memaklumkan bersedia untuk dibicara dalam Bahasa Inggeris.

“Naran sebelum ini memohon untuk kes ditangguhkan bagi menyelesaikan isu jurubahasa dan pendengaran bagi penangguhan ditetapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Februari ini.

“Pihak pendakwaan ingin tahu sekiranya permohonan ini masih ingin diteruskan pembelaan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Zaki berkata, pihak-pihak perlu memaklumkan sebarang keputusan Mahkamah Tinggi kepada mahkamah yang mendengar perbicaraan.

“Isu mengenai jurubahasa sudah diangkat ke Mahkamah Tinggi, tunggu sehingga 28 Februari ini dan sebarang arahan akan diputuskan kemudian.

“Di Mahkamah Tinggi nanti pun kita tak tahu peguam mana yang akan muncul, sama ada Ooi (Jeffrey Ooi) atau peguam lain,” kata hakim itu.

Pada 13 Januari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin yang sebelum ini mendengar kes itu membenarkan perbicaraan kes ditangguhkan dan melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan berikutan isu pertikaian daripada pembelaan mengenai jurubahasa Ibrani.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan, 39, didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top