essabuyamin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 326,419 orang atau 58.6 peratus daripada keseluruhan 556,556 pelajar yang memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) memilih untuk mengikuti pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi peringkat diploma dan ijazah pertama.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, baki seramai 230,137 pelajar atau 41.4 peratus pula mengikuti bidang bukan STEM bagi tempoh tahun 2023 hingga Mac lalu.
Beliau berkata, statistik berdasarkan data Sistem MyMOHES Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu membuktikan bahawa IPTA terus memberi penekanan yang jelas terhadap pembangunan bakat dalam bidang STEM.
“Langkah ini selaras dengan keperluan negara dan permintaan industri masa hadapan, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, automasi, pendigitalan serta teknologi hijau,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai nisbah kemasukan pelajar STEM berbanding bukan STEM, serta sasaran jumlah jurutera dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.
Mengulas mengenai sasaran tenaga kerja mahir, Adam Adli berkata, DSTIN 2021–2030 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tidak menetapkan pembangunan modal insan berdasarkan bilangan mutlak jurutera mengikut disiplin tertentu.
Adam Adli berkata, kerajaan menggunakan pendekatan menyeluruh menerusi pembangunan ekosistem Penyelidik, Saintis, Jurutera dan Teknologis (RSET).
“Bagi menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi, DSTIN menetapkan sasaran nisbah sebanyak 200 tenaga kerja RSET bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang tahun 2030.
“Merujuk kepada sasaran berkenaan dan bersandarkan unjuran guna tenaga negara sekitar 17.06 juta orang, Malaysia dianggarkan memerlukan kira-kira 341,200 tenaga kerja RSET menjelang tahun 2030.
Katanya, KPT akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi bagi memastikan penawaran program, kapasiti institusi dan pembangunan bakat sentiasa selari dengan keperluan industri serta aspirasi pembangunan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




