WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden semalam sekali lagi memberitahu rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin untuk ‘mengambil tindakan’ terhadap penggodam perisian ransomware yang beroperasi di Russia, namun tidak begitu dihiraukan Kremlin.
Rumah Putih berkata, Biden dan Putin bercakap hampir sejam melalui telefon, memfokuskan kepada ancaman ransomware dan mengenai membenarkan bantuan kemanusiaan ke Syria, yang mana Russia adalah penyokong utama rejim Assad.
Bercakap kepada pemberita, Biden berkata, beliau ‘menyatakan dengan jelas’ yang ‘kita menjangkakan mereka untuk bertindak’ terhadap kumpulan ransomware.
Ia adalah mesej sama yang disampaikan Biden secara peribadi kepada Putin ketika mesyuarat sidang kemuncak pertama mereka di Geneva pada Jun.
Kremlin mengetepikan isu itu, namun menegaskan selepas panggilan telefon semalam yang Washington malah tidak meminta bantuan.
“Walaupun pihak Russia bersedia untuk sama-sama memerangi kegiatan jenayah dalam bidang maklumat, sejak sebulan lalu, tiada permintaan daripada jabatan AS yang relevan,” kata satu kenyataan dari pejabat Putin.
Susulan dakwaan Kremlin itu, seorang pegawai kanan pentadbiran Biden berkata, terdapat ‘pelbagai permohonan dan spesifik untuk tindakan itu’.
“AS jelas mengenai tanggungjawab Russia,” kata pegawai itu yang enggan dikenali.
Serangan ransomware di AS dan negara lain meningkat dengan mendadak sejak beberapa tahun lalu, termasuk membabitkan operasi berprofil tinggi yang menutup sebuah saluran paip bahan api utama di timur AS.
Sasaran lain termasuk jabatan polis, hospital dan syarikat swasta. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




