Biden peringati ulang tahun ke-10 pembunuhan Osama bin Laden

Biden peringati ulang tahun ke-10 pembunuhan Osama bin Laden

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggunakan ulang tahun ke-10 pembunuhan Osama bin Laden, untuk mempertegaskan keputusannya mengeluarkan tentera AS dari Afghanistan.

“Kita mencari bin Laden sehingga ke ‘pintu neraka’ dan kita berjaya. Kita berpegang dengan janji kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dalam insiden 11 September, bahawa kita tidak akan lupakan semua yang terkorban.

“AS juga tidak akan goyah dalam komitmen untuk memastikan tiada lagi serangan seumpamanya di tanah air kita,” kata Biden dalam satu kenyataan dikeluarkan Rumah Putih.

Biden yang bulan lalu mengumumkan akan menamatkan perang terpanjang Washington menjelang 11 September, memuji bekas Presiden AS, Barack Obama yang meluluskan operasi sulit menyasarkan pemimpin al-Qaeda itu pada 2011, serta memuji pasukan khas tentera yang menjalankan operasi berkenaan di Pakistan.

Memerhatikan operasi itu daripada jauh di dalam Bilik Situasi Rumah Putih, Biden menyifatkannya sebagai detik yang tidak akan dilupakannya, merangkumi pasukan perisikan yang berusaha mengesan Osama; keyakinan Obama dalam memutuskan pelaksanaan operasi itu serta keberanian dan kemahiran anggota yang melaksanakannya.

Di saat AS mula membawa keluar anggotanya dari Afghanistan, Biden berkata, meskipun al-Qaeda sudah menjadi lemah, AS akan kekal berjaga-jaga terhadap ancaman kumpulan pengganas yang semakin bercambah di seluruh dunia.

“Kami akan terus memantau dan menggagalkan sebarang ancaman dari Afghanistan.

“Kita akan berusaha menentang ancaman pengganas di tanah air serta kepentingan kita dalam kerjasama dengan sekutu dan rakan di seluruh dunia,” katanya. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top