WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, semalam menegaskan tidak akan terbabit dalam konflik ketenteraan di Ukraine, yang kini masuk hari ketujuh diceroboh Russia.
Beliau membuat penegasan itu semasa menyampaikan ucapan pertamanya pada pembukaan Kongres AS di bangunan Capitol, Washington semalam.
“Biar saya jelaskan, tentera kami tidak terbabit dan tidak akan terbabit dalam konflik dengan tentera Russia di Ukraine,” kata pemimpin parti Demokrat itu.
Biden juga menyatakan bahawa dunia sudah meminggirkan Presiden Russia, Vladimir Putin, kerana menghantar tentera menyerang Ukraine.
Beliau juga menyatakan bahawa sekatan dahsyat yang semakin banyak dikenakan akan melemahkan kekuatan ekonomi dan ketenteraan Russia.
“Putin sekarang terpencil dari dunia lebih terasing daripada apa yang pernah dialaminya,” katanya.
Presiden AS itu berkata, rakan sejawatnya dari Russia itu masih tidak menyedari apa yang akan terjadi dari segi hukuman dan ancaman ekonomi ekoran melancarkan serangan ke atas Ukraine pada Khamis lalu.
Beliau juga melabelkan Putin sebagai diktator dalam ucapan pertamanya hampir seminggu selepas Moscow menyerang negara jirannya itu.
“Seorang diktator Russia kini berdepan tentangan negara asing di seluruh dunia dalam pertempuran antara demokrasi dan autokrasi, demokrasi ternyata meningkat hingga saat ini dan dunia jelas masih memilih keamanan,” katanya. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




