Petaling Jaya: Dalam dunia serba digital, telefon pintar bagaikan ‘sahabat rapat’ belia masa kini . Namun jika disalahgunakan ia boleh menjadi ancaman berbahaya kepada belia. Kajian terkini pada tahun 2024 menunjukkan peningkatan ketagihan telefon dalam kalangan belia Malaysia, terutamanya selepas pandemik COVID-19. Belia berumur 16 hingga 30 tahun kini dilaporkan menggunakan media sosial dan internet secara purata antara tujuh hingga lapan jam sehari. Kebanyakan individu menggunakan pelbagai peranti elektronik setiap hari dan seringkali digunakan tanpa tujuan yang jelas. Walaupun peranti elektronik memainkan peranan penting dalam pembelajaran, pekerjaan dan interaksi sosial, tempoh penggunaan yang berlebihan berisiko menjurus seseorang kepada ketagihan.
Penggunaan telefon dan internet yang berlebihan dan tidak terkawal boleh memberi implikasi serius kepada kesihatan fizikal dan mental jika diambil ringan. Terdapat juga beberapa kes buli dan insiden serius yang mendapat perhatian umum. Misalnya, pada tahun 2025 dilaporkan insiden penikaman di sebuah sekolah yang dikaitkan dengan pengaruh media sosial. Ini membuktikan betapa seriusnya kesan penggunaan gajet tanpa kawalan
Tanda-tanda seseorang itu ketagihan telefon mudah untuk dikesan. Antaranya ialah kegagalan menyiapkan tugasan atau kerja rumah dalam tempoh yang ditetapkan, individu tersebut cenderung mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan kerana meluangkan banyak masa dengan telefon atau gajet. Selain itu, individu tersebut merasa resah atau takut apabila terlepas maklumat penting. Ini merupakan satu fenomena yang sering dirujuk sebagai FOMO (fear of missing out). Sesetengah individu merasa cemas atau panik jika telefon tidak berada bersama mereka, apabila bateri hampir habis atau apabila telefon tidak dapat dihidupkan
Antara kesan negatif ketagihan telefon pintar ialah berlaku gangguan tidur. Penggunaan telefon pada waktu malam boleh menunda waktu tidur kerana cahaya biru yang dipancarkan meniru cahaya siang dan menghantar isyarat kepada otak yang mengelirukan kitaran tidur seseorang itu. Kekurangan tidur yang berterusan boleh menjejaskan proses pertumbuhan otot, pembaikan tisu, dan berlaku gangguan hormon dan pertumbuhan. Dalam kes yang lebih serius, ketagihan gajet boleh menyebabkan gejala mirip ketagihan dadah seperti rasa gelisah dan mudah marah apabila tidak menggunakan telefon
Selain itu, telefon pintar boleh digunakan untuk menyebarkan bahan lucah dan penyalahgunaan kandungan peribadi. Sebilangan pelajar sanggup merakam, memuat naik dan mengedarkan video atau foto lucah yang boleh menjatuhkan maruah dan harga diri mangsa. Fenomena ‘cinta monyet’ yang mudah terbentuk dalam kalangan remaja juga boleh membawa kesan negatif terutamanya kepada pelajar perempuan. Ketagihan telefon pintar turut memberi kesan buruk kepada kesihatan mental remaja, dengan pendedahan kepada kandungan ganas atau kebencian yang menyumbang kepada peningkatan kebimbangan sosial dan kemurungan.
Terdapat beberapa langkah praktikal untuk mengawal ketagihan telefon pintar. Antara salah satu cadangan ialah menaikkan had umur pendaftaran media sosial kepada 16 tahun dan mewajibkan pendaftaran melalui pengesahan identiti rasmi untuk mengurangkan bilangan akaun bawah umur. Di peringkat keluarga, ibu bapa perlu lebih proaktif dalam mewujudkan kawasan atau waktu bebas telefon di rumah, sering mengamalkan dialog terbuka tentang kandungan yang ditonton atau dibaca oleh anak serta perlu menjadi contoh dengan menguruskan masa skrin sendiri.
Di peringkat sekolah dan agensi kerajaan pula, program pendidikan media boleh diperhebatkan untuk membantu remaja mengenal pasti kandungan sahih, membezakan berita palsu dan memahami bahaya siber. Selain itu, pihak berkuasa juga harus memperkukuh dan memperluas kempen sedia ada seperti inisiatif MCMC “Klik Dengan Bijak” agar impaknya lebih menyeluruh. Pelajar digalakkan menyertai aktiviti luar seperti sukan, seni, dan kerja khidmat masyarakat agar mereka dapat berehat seketika daripada dunia maya dan membina gaya hidup yang lebih seimbang dan sihat.
Media sosial membawa manfaat jika dikawal dengan baik, selaras dengan prinsip Islam yang turut menegaskan kepentingan menjaga keluarga seperti firman Allah dalam Surah al-Tahrim (66:6) agar kita melindungi diri dan ahli keluarga daripada kebinasaan. Anak-anak perlu diajar nilai iman dan taqwa sejak kecil kerana dengan akhlak yang baik, mereka lebih mampu menjauhi pengaruh buruk. Hadis Nabi SAW juga mengingatkan kita supaya mencintai saudara seperti mencintai diri sendiri termasuklah dengan melindungi mereka daripada bahaya. Semua pihak perlu bekerjasama memastikan nilai iman, taqwa, dan etika diterapkan sejak kecil agar generasi muda lebih berdaya tahan serta terpelihara daripada pengaruh negatif dunia maya.
Oleh: RAHMAH MUNAWWARAH BINTI MOHD NAJIB
JABATAN SEJARAH, TAMADUN, DAN PENDIDIKAN ISLAM,
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA
rah.munaww@gmail.com



