Biji kopi, daging sejuk beku bernilai hampir sejuta dirampas

Biji kopi, daging sejuk beku bernilai hampir sejuta dirampas

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas daging babi sejuk beku, daging itik sejuk beku serta biji kopi bernilai RM916,156.02 di Pelabuhan Klang Barat, dekat sini hari ini.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, rampasan dilakukan selepas beberapa pemeriksaan fizikal ke atas kontena yang membawa dagangan hasilan haiwan dan pertanian di Tapak Pemeriksaan Kontena CFS4.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihak MAQIS mengesan tiga konsainan dagangan yang tidak mematuhi syarat serta peruntukan undang-undang sedia ada.

“Dalam pemeriksaan kira-kira 11.30 pagi mendapati daging babi sejuk beku dari Belgium tidak mematuhi syarat permit import MAQIS.

“Jumlah berat rampasan adalah sebanyak 24,958.10 kilogram dengan anggaran nilai RM461,371.43.

“Dalam pemeriksaan jam 11.45 pagi pula, sebanyak 16,161.28 kilogram daging itik sejuk beku dari Ireland diimport tanpa permit import MAQIS yang sah, dengan anggaran nilai RM354,176.26,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, dalam pemeriksaan itu dagangan hasilan pertanian iaitu biji kopi dari Colombia diimport tanpa Perakuan FAMA 3P seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang berkaitan.

“Jumlah berat rampasan adalah sebanyak 3,500 kilogram dengan anggaran nilai RM100,608.33,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, jumlah rampasan bagi ketiga-tiga dagangan adalah 44,619.38 kilogram dengan anggaran nilai sebanyak RM916,156.02.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top