‘Bikers’ Perancis berpusu beli Harley-Davidson, khuatir harga meningkat

‘Bikers’ Perancis berpusu beli Harley-Davidson, khuatir harga meningkat

PARIS – Peminat motosikal berkuasa tinggi di Perancis kini berpusu-pusu mendapatkan Harley-Davidson kerana khuatir harga kenderaan itu akan meningkat susulan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Kebimbangan itu timbul selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan tarif baharu yang digelar sebagai tarif ‘Hari Pembebasan’.

Sebagai tindak balas, Kesatuan Eropah (EU) telah mengumumkan senarai barangan dari Amerika Syarikat yang bakal dikenakan tarif, termasuk motosikal, walaupun langkah tersebut kini digantung sementara susulan rundingan yang sedang berlangsung.

Seorang tukang kayu, Stephane Roger, 55, mengakui sudah lama menyimpan hasrat memiliki sebuah Harley-Davidson, namun keputusan untuk membelinya menjadi lebih mendesak setelah mendengar berita mengenai tarif tersebut.

“Sekarang atau tidak sama sekali,” katanya.

Seorang anggota tentera Perancis berusia 30 tahun, Theo Mottet, turut berkongsi pandangan yang sama.

“Saya rasa sekarang adalah masa terbaik untuk membeli Harley. Kalau tarif dikenakan dan harga naik, motosikal ini tidak lagi mampu dimiliki oleh orang kebanyakan.

“Ia akan menjadi satu kemewahan untuk golongan elit,” ujarnya.

Bagi pesara pemuzik, Jean Luc Peschel, 65, Harley-Davidson merupakan simbol impian zaman kanak-kanaknya yang dipengaruhi oleh budaya pop Amerika.

“Saya sudah tua. Harley-Davidson menghidupkan kembali zaman kanak-kanak saya.

“Filem Amerika membuatkan kita bermimpi, dan saya rasa hari ini masih ada orang yang perlukan mimpi itu,” katanya.

Meskipun tarif EU masih belum dikuatkuasakan, ramai pembeli menjangkakan harga melonjak sekiranya rundingan antara EU dan AS gagal.

Buat masa ini, pengedar motosikal Harley-Davidson di Perancis menikmati lonjakan jualan yang luar biasa hasil kebimbangan tersebut.

Scroll to Top