razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Larangan mengambil alkohol atau meninggalkan bekas minuman itu di dalam mahupun di sekitar rumah serta membawa masuk haiwan peliharaan adalah antara peraturan yang ditetapkan pemilik inap desa ini bagi memastikan kediamannya sentiasa berada dalam keadaan baik.
Beliau yang mahu dikenali sebagai Ramli berkata, semua peraturan rumah itu dikuatkuasakan dengan tegas bertujuan mengawal tingkah laku pelanggan supaya tidak mengotorkan atau merosakkan kediaman, selain untuk menjaga keharmonian dengan jiran.
“Saya turut mengambil deposit RM200 dan akan mengenakan penalti sekiranya pelanggan didapati melanggar peraturan ditetapkan berdasarkan bukti yang jelas.
“Kebanyakan peraturan itu terhasil daripada pengalaman saya berdepan pelbagai ragam pelanggan sepanjang 10 tahun terbabit dalam bidang ini,” katanya
Menurutnya, antaranya adalah peraturan larangan mengambil alkohol terhasil daripada pengalaman dihadapi ketika menerima tempahan sekumpulan pelanggan yang menginap kediamanya bagi menghadiri majlis perkahwinan.
Katanya, selepas mendaftar masuk, jirannya menghubunginya selepas mendapati mereka mengambil alkohol di rumah sebelum membuang tin minuman itu ke dalam tong sampah miliknya
“Sebaik menerima aduan itu, saya datang dan mengarahkan mereka mendaftar keluar kerana melanggar peraturan. Bagaimanapun seorang daripada mereka meminta saya buktikan bahawa mereka mengambil alkohol di dalam homestay (inap desa).
“Pada ketika itu, saya tiada bukti kerana tiada kamera litar tertutup (CCTV). Selepas insiden itu, saya menambah baik peraturan dengan menetapkan tidak dibenar ada sebarang kesan atau bekas alkohol di dalam atau sekitar homestay,” katanya.
Dalam kejadian berasingan, dia turut berdepan dengan pelanggan membawa anjing ketika menginap selama lima malam di dua inap desanya.
Menurutnya, perkara itu terbongkar selepas pasukan pembersihan menemukan banyak bulu haiwan di inap desa pertama, manakala jiran di kediaman kedua pula memaklumkan terdengar bunyi salakan anjing pada sebelah malam dan pagi.
“Apabila ditanya, pelanggan menafikan perkara itu dengan memberitahu anjing itu hanya berada di luar homestay. Selepas mereka mendaftar keluar, saya dapati karpet koyak dan bahagian bucu katil mempunyai kesan gigitan.
“Kos pembersihan (sertu) bagi kedua-dua rumah mencecah RM1,500. Disebabkan melanggar peraturan, deposit RM200 pelanggan tidak dipulangkan dan saya turut membuat tuntutan melalui Airbnb,” katanya.
Selain itu, dia juga pernah memotong deposit pelanggan bagi menggantikan botol syampu berharga RM10 yang didapati hilang.
“Nilainya mungkin kelihatan kecil, tetapi saya tidak mahu pelanggan menganggap mereka boleh mengambil barangan di homestay sesuka hati,” katanya.
Ramli berkata, masalah dengan pelanggan timbul apabila ramai dalam kalangan pemilik homestay mempunyai peraturan rumah, namun takut menguatkuasakannya kerana bimbang menerima ulasan negatif atau ditularkan di media sosial.
“Dalam hal ini, saya menasihatkan pemilik supaya berani bertindak jika mempunyai bukti jelas. Kita mahu pelanggan menghormati peraturan rumah, tetapi pada masa sama, pemilik sendiri mesti berpegang pada apa yang sudah ditetapkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




