“Bila dah kena baru tahu macam mana” -Haiza Hanafi bebas Covid-19 – Utusan Digital

PETALING JAYA: Penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi memaklumkan dirinya selesai menjalani kuarantin selepas dijangkiti virus Covid-19.

Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu popular Dag Dig Dug itu menerusi entri Instagram miliknya.

Menurut Haiza, dia mengalami kesukaran untuk bernafas dan demam di saat diri positif virus maut tersebut.

“Covid-19 itu sangat dekat. Ada sahaja di keliling kita. bila sudah kena baru tahu macam mana.

“Demam dan dada jadi sempit. Susah sikit hendak bernafas. Tetapi Alhamdulillah, ikhtiar kita sudah ada vaksin lengkap. Cuma belum booster (dos penggalak),” kongsinya di Instagram.

Mengulas lanjut, suami tercinta dan anaknya yang turut dijangkiti virus berkenaan kini sudah dalam keadaan baik sahaja.

Tambah Haiza, jangkitan Covid-19 masih boleh terkena meskipun sudah divaksin, namun risikonya mungkin tidak setinggi yang belum menerima vaksin.

“Suami, saya serta anak dapat melalui dengan baik. Terima kasih kepada yang banyak membantu. Anda tahu siapa anda, semoga Allah sentiasa melindungi anda.

“Memang benar, kalau dah vaksin pun boleh kena. Kalau tidak vaksin apatah lagi. Risikonya lebih tinggi. Ubat dan makanan sunnah itu juga ikhtiar, maka seimbangkan.

“Allah maha penyembuh dan wajb kita melindungi diri dan orang sekeliling. Jadilah manusia yang bertanggungjawab,” coretnya panjang.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet turut menzahirkan rasa syukur kerana Haiza sekeluarga telah kembali sihat.