Pelakon dan penyanyi, Daniel Fong menegaskan dia bukanlah aktor yang dimaksudkan pelakon, Harissa Adlynn sebelum ini yang mempunyai bau badan memandangkan mereka digandingkan bersama dalam sebuah drama.
Kata Daniel ketika ditemui Xtra, dia memilih bersikap positif dan tidak mudah melatah dengan isu tersebut dek kerana sebelum ini dia tidak pernah menerima komen negatif mengenai isu bau badannya.
“Saya tak susah hati sebab saya tahu itu bukan saya.
“Kalau saya pun, mesti bekas teman wanita saya sudah tegur tapi tak ada yang tegur.
“Tapi mungkin satu hari nanti saya tak boleh jamin sekarang saya tak berbau tapi mungkin masa akan datang sebaliknya. Tahu sahajalah, body age kan macam sains. Tapi so far so good,” katanya.
Bagaimanapun, Daniel atau nama lengkapnya, Daniel Fong Weng Chuan, 32, berkata, masalah bau badan mungkin berlaku ketika berada di set penggambaran terutamanya dalam jangka masa terlalu lama.
Ini kerana, masalah pakaian yang disediakan juga mungkin menjadi faktor utama yang menyebabkan bau badan terjadi.
“Macam dalam set, saya pun faham kadang bukan nak berbau busuk. Tapi sebab shooting dari pagi sampai malam.
“Dan baju pun yang kita letak dekat wardrobe kita tak tahu sama ada mereka cuci atau tidak.
“Jadi, tak kiralah kalau awak wangi macam mana pun, baju tak cuci 10 kali tetap akan berbau.
“Lepas artikel itu keluar, saya pergi set pun pakai perfume yang banyak dan kadang-kadang bila saya rasa ketiak saya basah sikit, saya akan letak deodoran,” jelasnya.
Daniel berkata demikian ketika ditemui usai tayangan drama terbaharunya berjudul Kerana Seorang Lelaki yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Daniel juga menegaskan, isu bau badan bukanlah gimik bagi mempromosikan drama lakonan mereka.
“Nak clarify, artikel ni bukan untuk promosi drama tau.
“Tak kan nak gunakan bau badan semata-mata nak promosikan drama kan?,” ujarnya.
Terdahulu, isu bau badan dalam kalangan rakan artis timbul selepas Harissa mendedahkan pernah berdepan dengan rakan lakon yang memiliki masalah kebersihan diri.
Untuk info, selain Daniel antara pelakon yang terlibat dalam drama terbaharu arahan Michael Ang ini adalah, Harissa Adlynn, Nabil Aqil, Dr Soo, Wincci, Marissa Yasmin, Aiman Ameer dan ramai lagi.




