lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Isu kerosakan lif yang membelenggu ribuan penduduk di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Setapak, di sini, masih belum menemui jalan penyelesaian apabila tujuh lif baharu yang siap dipasang sejak dua bulan lalu masih belum boleh digunakan.
Keadaan ini menyebabkan penduduk terpaksa terus bersesak dan menanggung risiko menggunakan hanya 18 daripada 38 buah lif sedia ada, manakala 13 lif lagi masih dalam proses penggantian yang sepatutnya siap sepenuhnya pada April lalu.
Tinjauan Harian Metro mendapati, tujuh lif baharu itu masih belum memperoleh Permit Mesin Angkat (PMA) daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kerana gagal memenuhi dua syarat teknikal, iaitu pemasangan cangkuk motor lif dan pembaikan susur tangan (handrail) di laluan tangga.
Pengurus Bangunan, Zulfadhly Zulkablee berkata, isu tersebut kini berada di jalan buntu apabila timbul pertikaian mengenai pihak yang sepatutnya bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja pembaikan tersebut.
“JKKP buat kerja dia betullah, dia komen apa yang perlu disiapkan sebelum lesen dikeluarkan. Tapi sekarang kita tak tahu siapa yang perlu baiki.
“Pihak perbadanan dah cuba baiki susur tangan di beberapa lokasi, tapi untuk baiki semua memerlukan dana yang sangat tinggi. Kita memang tak mampu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Zulfadhly berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan dana penyelenggaraan sebanyak RM500,000 untuk membaiki susur tangan di lima buah blok, namun peruntukan itu masih belum dilaksanakan kerana dalam proses tender.
“Itu baru untuk lima blok. Bayangkan, ada lagi tujuh blok yang perlukan pembaikan. Dari mana kami nak cari dana? Kalau JKKP beri syarat untuk kami selesaikan semua, saya rasa sampai bila-bila pun kami tak mampu dan PMA tak akan dikeluarkan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk, Ismail Shaari mendakwa, sikap lepas tangan kontraktor yang dilantik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi punca utama kelewatan tersebut.
“Kontraktor pasang pun satu hal, dana pun satu hal. Selagi cangkuk motor lif tidak mendapat pengesahan (endorse) daripada jurutera, JKKP tak boleh keluarkan PMA.
“Sepatutnya DBKL ada kuasa penuh, tekan saja kontraktor buat cepat. Ini yang kita sebagai penduduk harapkan.
“Kalau asyik bertolak-tolak tentang siapa patut bertindak, bila lif ini hendak siap? Kita penduduk jadi mangsa,” katanya.
Ismail berkata, projek penggantian lif yang sepatutnya siap pada April lalu kini dimaklumkan mungkin akan dilanjutkan sehingga Oktober, namun beliau meragui tempoh itu dapat dipatuhi jika isu teknikal tersebut tidak diselesaikan.
“Kita pun sudah fobia. Sebelum ini pun pernah berlaku insiden lif bermasalah hingga menyebabkan kecederaan kepada penduduk,” katanya.
Ismail menambah, Badan Pengurusan Bersama (JMB) sering dipersalahkan oleh penduduk, sedangkan hakikatnya pelantikan kontraktor dibuat sepenuhnya oleh DBKL dan masih di bawah tempoh liabiliti kecacatan (DLP).
Mereka merayu agar DBKL dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat mempercepatkan proses penggantian baki 13 lif serta menyelesaikan segera isu PMA bagi tujuh lif yang sudah siap agar penderitaan penduduk dapat diatasi.
Bagi warga emas, Latipah Umar, 63, yang mendiami tingkat 14 Blok A, berkongsi kesukaran dihadapinya untuk bergerak turun dan naik akibat hanya satu daripada empat lif di bloknya boleh digunakan.
“Kalau pagi dan petang orang pergi dan balik kerja, memang ramai. Kita takut kerana risau terlebih muatan.
“Sabtu lalu, lif di Blok A seakan-akan jatuh dari tingkat 15 ke tingkat tiga disebabkan masalah mekanikal. Saya dimaklumkan ada tiga individu dalam lif ketika itu. Salah seorang dari mereka yang berbadan besar bengkak di kaki kerana dia terduduk.
“Lif itu sekarang ditutup buat sementara waktu, jadi satu lif saja yang beroperasi,” katanya.
PA Desa Rejang mempunyai 12 blok dan 2,791 unit rumah dengan kepadatan penduduk mencecah 18,000 orang.
Disember tahun lalu, tular satu video di media sosial mengenai detik cemas dihadapi penduduk apabila lif di Blok D perumahan berkenaan terhempas dari tingkat 9.
Pada 3 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat lif berkenaan serta memaklumkan ia bakal dibaik pulih secepatnya bagi manfaat penduduk.
© New Straits Times Press (M) Bhd