Kuala Terengganu: Ketumpulan jentera serangan terus menghantui kem pasukan Melaka United FC (MUFC) yang layak dilaber pakar seri selepas empat perlawanan Liga Super berakhir dengan keputusan seri.
Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan adalah individu paling resah selain hairan kerana ‘bisa’ penyerangnya yang diketuai import kelahiran Brazil, Alex Goncalves dan gandingannya dari Haiti, Sony Norde belum ditemui.
“Pemain haruslah keluar ‘bisa’ kerana kita masih lagi gagal merakam sebarang kemenangan sebaliknya hanya seri dalam empat perlawanan. Saya nak tanya bila lagi bisa penyerang berkenaan akan muncul? Kerana jika dilihat dalam setiap perlawanan keyakinan dan aksi mereka amat baik begitu juga dengan pemain lain.
“Tiga perlawanan terdahulu serta malam ini (semalam) kita mendominasi permainan, begitu juga peluang keemasan, tapi pemain gagal memanfaatkan kelebihan itu, ini yang menghairankan kami.
“Jadi pemain perlu bangkit dan harus ada peningkatan kerana bisa itu yang kita cari, namun saya berkeyakinan bila semua dapat dikemas kini, kita akan lebih mantap dan berjaya temui penyudah,” katanya selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak semalam yang berkesudahan terikat 1-1 dengan Terengganu FC (TFC).
Mengulas perlawanan itu, Zainal berkata seharusnya tiga mata menjadi milik pasukannya jika anak buahnya tidak leka selepas mendahului.
“Kita dihukum akibat kelalaian pemain pertahanan, namun saya tidak mahu menyalahkan pemain 100 peratus kerana mereka sudah berusaha tapi nasib tidak menyebelahi kami. Satu mata cukup berharga lebih-lebih lagi TFC kini berada di kemuncak prestasi,” katanya.




